Sunday 23 June 2013

Peritnya cuba menjadi penulis

Menulis sesuatu yang bagus dan baik serta yang berisi dan mendatangkan manafaat kepada semua pembaca memang mencabar. Jika kita tahu menulis tetapi tidak faham apa yang kita tulis akan mendatangkan kerugian. Baru aku tahu bukan mudah ingin menjadi penulis, tidak kira sebagai penulis apa pun, kita perlukan otak yang kreatif dan inovatif agar hasil penulisan kita bermutu. Masa berlalu tanpa aku sedari sudah seminggu aku tidak tahu ingin menulis apa di blog aku bukan aku malas nak menulis tetapi seperti yang aku sebutkan otak aku menjadi beku kekurangan idea dan hilang ilham untuk mengarang atau menulis perkara-perkara yang aku sendiri tidak pasti ke mana hilangnya semua idea dan bahan yang aku nak kongsikan.

Kalau aku nak menulis yang bukan-bukan memang boleh le tetapi boleh jalan le, sebab aku ingin menjadi penulis yang agak-agak sempoi tetapi memberi kesan yang mendalam dari segi isi kandungan yang memberi satu kesan yang abadi seperti pengajaran, tauladan, motivasi dan semua yang mendatangkan kebaikan kepada penulis dan juga kepada pembaca agar setiap isi yang ditulis tidak akan melalaikan serta mendatangkan kemudaratan kepada semua.

Mengerah otak untuk mengeluarkan idea adalah saat yang paling berat aku rasakan sehingga boleh mendatangkan rasa bosan untuk meneruskan medan ini. Kadang-kadang terfikir juga bagaimana penulis-penulis yang terkenal, mereka mengerah tenaga dan otak untuk menghasilkan bait-bait kata dan hasil penulisan yang baik serta mampu membuat orang tertarik untuk membaca sehingga ke akhir ayat. Semua orang boleh menulis tetapi bukan semua orang boleh memikat dan memberi manafaat kepada pembaca dengan hasil penulisannya.

Pengajaran yang boleh aku amalkan adalah kita jangan memaksa diri kita untuk menulis sesuatu kerana hasil dari paksaan akan menjadikan hasil penulisan kita hambar dan tidak mendatangkan kesan kepada pembaca kerana ia adalah idea yang tidak ikhlas dan emosi kita yang tidak tenang. Emosi yang setabil, keikhlasan hati dan ketenangan jiwa serta fikiran kita yang tidak dikawal oleh nafsu akan mendorong kita menulis kepada perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan, berbanding jika kita menulis di dalam keadaan sebaliknya. Secara ringkasnya jika kita ingin menulis dengan baik kita perlu perbaiki dahulu keadaan diri kita supaya pengaruh hasil penulisan kita menjadi yang terbaik untuk semua.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...