Sunday 11 December 2016

Aku dan bundle

Kisah orang berniaga pakaian bundle telah kerap kali aku dengar dan lihat. Senario orang menjual dan membeli pakaian terpakai dari luar negara ini telah menjadi satu fenomena yang sangat hebat di negara kita ini. Pakaian terpakai ini atau lebih dikenali dengan pakaian bundle telah menarik minat orang ramai untuk membeli dengan kadar harga yang mampu beli dan berkualiti. Silap-silap hari bulan boleh dapat barang yang berjenama dan mempunyai nilai yang tinggi dipasaran.

Bila telah ramai yang membeli dan mulalah tumbuh bagaikan cendawan kedai-kedai atau tempat-tempat port orang menjual pakaian bundle. Pelbagai cara dan harga jualan yang diusahakan oleh si penjual bagi menarik perhatian dan minat orang ramai membeli barang jualan mereka. Harga yang berpatutan bagi pakian yang berjenama dan berkualiti tinggi, sungguh memuaskan hati orang yang membeli.


Apa yang aku kongsikan ini adalah sedikit tidak terpalit kepada diri aku sendiri. Tidak pernah bermimpi untuk menjadi sebahagian keluarga penjual pakaian bundle ni. Semuanya telah ditentukan oleh yang maha Esa. Bermula dengan rasa minat untuk membeli pakian bundle yang berjenama dengan harga yang berpatutan menyebabkan aku sendiri terjebak dengan sumber pendapatan sampingan ini.

Selalu aku katakan kepada sahabat-sahabat dan orang ramai "Berniaga tanpa senagaja" dah macam tajuk drama lak. Dahulu aku hanya pembeli dan sekarang berkembang menjadi penjual pula. Setakat ke hari ini, masih lagi menjual secara kecil-kecilan dan sekadar suka-suka bak kata mudahnya sebagai jualan sambilan di rumah. Seminggu sekali mencari barang untuk di jual kembali dengan harga yang berpatutan, kata kawan "asal ada untung" kecil atau besar itu rezeki.


Kalau dahulu aku mendengar orang berniaga amatlah untung dan mudah tapi kini bila dah merasa baru ku tahu betapa sukar dan amat mencabar perjalananya. Bukan mudah untuk mengharap orang membeli dengan kita kerana kuasa membeli terletak kepada pelanggan dan kita tidak boleh memaksa mereka untuk membeli. Sabar adalah kunci utama dalam bidang ini kerana selain dari hasil jualan, telinga dan perasaan juga perlu kuat bak kata member "hati mahu kering beb".

Bukan semua orang suka dengan usaha kita, bahkan ada yang mengutuk dan ada pula yang memperli serta ada yang memandang serong tetapi itu semua biasa dalam bidang ini. Bak kata sahabat yang banyak memberi dorongan "jangan putus asa, teruskan usaha", kata-kata keramat itu menjadi pembakar semangat diri ini untuk meneruskan perjuangan dalam bidang ini dan apa yang menarik perhatian aku, semakin ramai kawan baharu yang aku dapat hasil dari kerjaya ini. Setiap minggu pasti akan bertemu dangan mereka bercerita apa yang patut dan mendapat nasihat serta tip-tip yang terbaik serta bertukar-tukar pandangan dan paling seronok sama-sama berebut-rebut mencari barang-barang yang terbaik dari kalangan yang terbaik.

Secara keseluruhan apa yang dapat aku rumuskan bidang ini adalah bidang yang mencabar dan perlukan semangat yang kuat serta kaedah dan perancangan pemasaran yang tepat dan yang paling penting pengurusan jual beli yang diredhai oleh Allah s.w.t. Walau setinggi mana pun kita berada pakaian bundle bukan calang-calang hebatnya, usaha dihina dan dikeji kerana ia juga adalah sebahagian barangan yang berkualiti tinggi serta boleh mendatangkan untung yang tinggi.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...