Thursday 22 December 2016

Ujian dan Dugaan

Kehidupan adalah satu perjalanan diri dari satu era ke era yang lain sehingga kita akan di tempatkan di dalam suatu tempat yang kekal selama-lamanya iaitu syurga atau neraka. Kita hidup berperingkat-peringkat dari satu alam ke alam yang lain, semua sudah sedia maklum bermula dari alam roh menuju ke alam rahim dan seterusnya ke alam dunia dan menetap di alam kubur dan akn di bangkitkan di alam akhirat.

Sepanjang perjalanan kehidupan, kita akan menempuh pelbagai perkara samada kita suka atau pun tidak. Suka duka adalah lumrah dalam kehidupan, ujian dan dugaan sudah menjadi perencah utama di dalamnya. Ujian yang kecil, ringan atau besar dan berat itu bergantung kepada kekuatan diri kita menghadapinya kerana Yang memberi ujian itu maha mengetahui secara keseluruhannya. Sebagaimana maksud firman Allah :

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (QS. Al Baqarah : 216)

Bercerita tentang ujian dan dugaan, banyak ujian dan dugaan yang datang di dalam kehidupan kita sebagai pemangkin untuk kita menjadi hambaNya yang berkualiti. Ujian hidup bukan sahaja perkara-perkara yang buruk melanda hidup kita tetapi ujian yang paling berat dan kadang-kadang menyebabkan kita leka dan lalai adalah ujian kesenangan, kekayaan dan kejayaan hidup. Ramai manusia yang telah gagal di dalam hidupnya dek kerana menikmati kenikmatan dan kemewahan hidup yang tidak berkesudahan.

Bagaikan kisah hidup orang-orang terdahulu contohnya Qarun yang kaya raya dan banyak hartanya sehingga dia menjadi bongkah, sombong dan takbur sehingga melupakan siapa yang memberi kekayaan kepada beliau dan yang menjadikan dia. Ujian begini juga pernah diberikan kepada mereka yang terpilih oleh Allah dan menjadikan hambaNya semakin bersyukur kepadaNya, contohnya kisah nabi Sulaiman yang mana mendapat keistimewan dari Allah untuk memerintah dan mempunyai kuasa pemerintahan yang besar sehingga segala makhluk di bumi di bawah pemerintahannya, namun nabi Suliman tetap istiqamah dan sentiasa bersyukur serta sentiasa menjadi hamba yang sangat berkualiti kepada Allah.

maka dia tersenyum dengan tertawa karena (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: “Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh“. (QS. An-Naml : 19)

Begitulah Allah datangkan ujian dan dugaan dalam hidup supaya kita menjadi lebih bersyukur kepadaNya dan bukan semakin lalai atau berputus asa sehingga kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendakNya. Seorang kawan aku pernah berkata, jalan keluar dari masalah adalah berdoa kepada Allah dan bila Allah datangkan ujian kepada kita hanya satu yang perlu kita lakukan, bertaubat kepadaNya, insafilah setiap apa yang pernah kita lakukan dan berusaha serta berdoa dan bertawakal kepadaNya nescaya akan Allah berikan jalan keluar dari kesusahan tersebut.

"...Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (QS Ath-Thalaq : 2-3)

Wednesday 21 December 2016

Balada pekerja bawahan siri 2

Kesatuan sekerja adalah salah atu wadah tempat pekerja yang rasa teraniya untuk mengadu nasib dan meluahkan apa juga perkara yang terpendam berkenaan dengan isu di tempat kerja. Kesatuan yang kuat akan dapat menjadi pemangkin memperjuangkan nasib ahlinya. Kesatuan jua akan dapat membantu ahlinya dalam menyelesaikan masalah tertentu berkenaan hal ehwal kerja yang dihadapinya. Apakah kesatuan sekerja dan apa faedahnya?, soalan yang sering bermain di dalam fikiran sebahagian warga kerja yang tidak mengerti maksud dan tujuan sebenar kesatuan sekerja.

Definisi kesatuan sekerja

Seksyen 2(1) Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang bermaksud seperti berikut: "…apa-apa perhubungan atau gabungan pekerja-pekerja atau majikan-majikan yang menjadi pekerja di mana tempat pekerjanya adalah di Malaysia Barat, Sabah atau Sarawak mengikut mana yang berkenaan." 

a) dalam mana-mana pertubuhan, trend, pekerjaan atau industri yang tertentu atau dalam apa-apa industri yang serupa;
b) sama ada secara sementara atau tetap; dan
c) yang mempunyai antara tujuan-tujuannya satu atau lebih daripada tujuan-tujuan berikut…….”

Akta-akta yang berkaitan pula ialah:

1. Perkara 10(1)(c) Perlembangaan Persekutuan menjamin hak warganegara untuk menyertai persatuan.
2. Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967 seksyen 4 dan 5 yang memperuntukkan jaminan hak pekerja. Seksyen 4 menjamin kebebasan kedua belah pihak iaitu tidak boleh ada campur tangan atau ancaman daripada pihak yang satu lagi berhubung hak untuk menubuhkan atau menyertai atau terlibat dalam aktiviti kesatuan pekerja. Seksyen 5(1)(a), 5(1)(b), 5(1)(c), 5(1)(d) dan 5(1)(e).
 
sumber : http://www.kka.usm.my/berita_am5.php 

Kesatuan adalah salah satu organisasi yang terbentuk menjadi wadah perantara pekerja dengan majikan bagi berunding, berbincang dan mencapai satu keputusan penyelesaian sesuatu isu berbangkit. Menerusi kesatuan yang berdaftar secara sah pekerja akan dapat memperjuangkan, menyusun dan merangka strategi bagi kebaikan dan kebajikan semua ahli pekerjanya serta membantu mengukukuhkan ekonomi mereka.

Kesatuan terbentuk melalui ahlinya yang ramai. kuat, tabah dan sentiasa bersatu padu sehati sejiwa bagi memantapkan perjalanan kesatuan. Kesatuan yang terbentuk memerlukan barisan pemimpin yang jitu dan bertanggunjawab serta bijak menangi isu-isu berbangkit. Pemimpin yang hebat mesti dipilih dengan bijak oleh ahli-ahli yang mantap. Bila barisan pemimpin telah terbentuk melalui pilihan ahlinya, hubungan yang baik antara mereka akan membantu kejituan sesebuah kesatuan. Kerjasama antara mereka perlu jitu dan sentiasa bersedia menjalankan tanggunjawab bersama agar perjuangan kesatuan tidak menjadi sekadar penghias sesebuah organisasi dan menjadi bahan lawak mereka yang tidak sebulu dengan kesatuan.

Apa yang pasti, bila kita menyertai kesatuan bukan niat untuk bermusuh dan mencipta susana yang tegang atau krisis perasaan serta mencari kesalah orang lain tetapi apa yang lebih penting niat di hati hanya kerana Allah dan menperjuangkan kesamarataan kegembiraan, kenikmatan dan kemudahan serta peluang kerjaya yang lebih meluas sama-sama diperolehi. Kalau pegawai atasan memperolehi kegembiraan, mereka yang di bawah pun dapat merasai kegembiraan bukan penderitaan, kalau pegawai atasan mendapat kenikmatan dapatlah kiranya dikongsi bersama dengan pekerja bawahan. Sama-samalah kita mengubah niat ke arah yang lebih baik dan kesatuan ini akan menjadi wadah menikmati kenikmatan bersama.

Satu suara belum tentu dapat mengegarkan halangan tetapi seribu suara akan dapat meruntuhkan cabaran. Bak sebatang lidi mudah untuk dipatahkan tetapi serumpun lidi akan menjadi padu dan amat sukar untuk dilentur. Kesatuan yang kuat menpunyai ahli yang ramai dan bijak serta matang. Kesatuan tidak akan wujud jika tiada ahli dan ahli akan pergi jika kesatuan hanya melayan kehendak peribadi. Satukan hati tekadkan matlamat yang sama bagi memperjuangkan nasib pekerja bawahan agar tidak teraniya selama-lamanya. Semoga Allah memberkati dan memberi rahmat kepada kita semua. kita jumpa lagi disiri seterusnya.

Monday 12 December 2016

Balada pekerja bawahan siri 1


Sering kali kita mendengar cerita tentang nasib pekerja-pekerja bawahan yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Kebajikan pekerja bawahan biasanya dipandang remeh oleh majikan yang sepatutnya menjadi pemangkin kepada pekerja untuk mengecapi kejayaan atau kemajuan dalam hidup. Susana kerja yang baik dan kondusif adalah bermula dari mereka yang berada di atas sebagai ketua atau pegawai atasan sehingga ke pekerja yang paling bawah grednya. Baik atasan baiklah bawahan, buruk atasan maka akan memberi tempias kepada orang bawahan, begitu juga baik bawahan makan untuhlah atasan, buruk bawahan maka akan tempias juga kepada atasan. 

Keluhan demi keluhan acap kali kita dengar dari suara-suara pekerja yang sering dinafikan hak mereka dan sukar untuk mendapat tempat yang lebih baik berdasarkan keadaan semasa. Antara rungutan yang ketara adalah masalah kenaikan pangkat dan gaji dikalangan pekerja terutama pekerja bawahan. Berdasarkan keadaan semasa terkini tempoh masa kenaikan pangkat dan gred gaji pekerja bawahan dan pegawai atasan amat ketara. Bagi setengah tempat kenaikan pangkat pegawai atasan dan gred gaji mengambil tempoh masa yang singkat berbanding dengan pekerja bawahan yang mengambil tempoh masa yang agak lama. Perbezaan tempoh masa yang agak jauh adalah sesuatu yang perlu dikaji semula memandangkan purata gaji pekerja bawahan adalah kecil dan memerlukan ikhtiar hidup yang tinggi bagi menyara kehidupan masa kini.


Hubungan antara sesama insan di tempat kerja juga memainkan peranan yang sangat penting bagi menjaga kehormanian di tempat kerja. Budaya mengasing-asingkan hubungan antara pegawai dengan pekerja bawahan, kerap kali menjadi lumrah di dalam sesuatu organisasi sehingga menyebabkan jurang perhubungan insani begitu ketara. "Apalah salahnya kalau sebagai ketua atau pemimpin sekali-sekali bersalaman dengan orang bawahan, bertanya kabar ke atau beramah mesra" dan "Tak luak lah pangkat tu kalau sekali-sekali tanya kabar kita" itu adalah keluhan yang kerap kali kita dengar dari pekerja-pekerja bawahan yang kurang mendapat perhatian dari pihak atasan.

Isu lain yang dipandang remeh oleh sesetengah majikan atau pegawai atasan adalah isu kebajikan dan kemudahkan di tempat kerja. Contoh yang dekat adalah isu pekerja yang telah lama berkhidmat lebih 5 tahun masih tidak mendapat kemudahan komputer di meja pejabat dan sering berkongsi komputer dengan rakan-rakan yang lain. Meja pejabat pekerja sekadar untuk meletakan barang-barang peribadi. Bagi mereka yang berkemampuan bolehlah membawa gajet atau laptop sendiri ke pejabat. Kata-kata seperti "alah siapalah kita kan" atau "tak apalah nak buat cam mana kan" atau "sabar ajalah, ni semua dunia", acap kali kedengaran dari mulut yang menjadi mangsa keadaan. Kemudahan komputer di meja pekerja tidak dinikmati secara menyeluruh, mungkin disebabkan kekangan prosuder atau apa juga yang sewaktu dengannya.


Isu-isu tidak seberapa inilah yang menyebabkan motivasi sesetengah pekerja menurun dan keseronokan berkerja menjadi hambar. Suara mereka pula kadang-kadang tidak kesampian dan tidak dipedulikan oleh mereka yang bertanggungjawab. Semangat kerja, kadang-kadang hanya berasakan kepada menunggu gaji bulanan sahaja. Ikhlas tapi jauh telah menjadi sebati dalam diri disebabkan kurangnya kasih sayang dan perhatian dari pegawai atasan yang memandang sepi nasib pekerja bawahan ini. Bagi mencapai hasrat dan menangani masalah seperti ini terus berlaku, jalan yang tepat adalah dengan menyertai kesatuan sekerja yang diharapkan dapat membela nasib pekerja yang terabai.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...