Monday 12 December 2016

Balada pekerja bawahan siri 1


Sering kali kita mendengar cerita tentang nasib pekerja-pekerja bawahan yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Kebajikan pekerja bawahan biasanya dipandang remeh oleh majikan yang sepatutnya menjadi pemangkin kepada pekerja untuk mengecapi kejayaan atau kemajuan dalam hidup. Susana kerja yang baik dan kondusif adalah bermula dari mereka yang berada di atas sebagai ketua atau pegawai atasan sehingga ke pekerja yang paling bawah grednya. Baik atasan baiklah bawahan, buruk atasan maka akan memberi tempias kepada orang bawahan, begitu juga baik bawahan makan untuhlah atasan, buruk bawahan maka akan tempias juga kepada atasan. 

Keluhan demi keluhan acap kali kita dengar dari suara-suara pekerja yang sering dinafikan hak mereka dan sukar untuk mendapat tempat yang lebih baik berdasarkan keadaan semasa. Antara rungutan yang ketara adalah masalah kenaikan pangkat dan gaji dikalangan pekerja terutama pekerja bawahan. Berdasarkan keadaan semasa terkini tempoh masa kenaikan pangkat dan gred gaji pekerja bawahan dan pegawai atasan amat ketara. Bagi setengah tempat kenaikan pangkat pegawai atasan dan gred gaji mengambil tempoh masa yang singkat berbanding dengan pekerja bawahan yang mengambil tempoh masa yang agak lama. Perbezaan tempoh masa yang agak jauh adalah sesuatu yang perlu dikaji semula memandangkan purata gaji pekerja bawahan adalah kecil dan memerlukan ikhtiar hidup yang tinggi bagi menyara kehidupan masa kini.


Hubungan antara sesama insan di tempat kerja juga memainkan peranan yang sangat penting bagi menjaga kehormanian di tempat kerja. Budaya mengasing-asingkan hubungan antara pegawai dengan pekerja bawahan, kerap kali menjadi lumrah di dalam sesuatu organisasi sehingga menyebabkan jurang perhubungan insani begitu ketara. "Apalah salahnya kalau sebagai ketua atau pemimpin sekali-sekali bersalaman dengan orang bawahan, bertanya kabar ke atau beramah mesra" dan "Tak luak lah pangkat tu kalau sekali-sekali tanya kabar kita" itu adalah keluhan yang kerap kali kita dengar dari pekerja-pekerja bawahan yang kurang mendapat perhatian dari pihak atasan.

Isu lain yang dipandang remeh oleh sesetengah majikan atau pegawai atasan adalah isu kebajikan dan kemudahkan di tempat kerja. Contoh yang dekat adalah isu pekerja yang telah lama berkhidmat lebih 5 tahun masih tidak mendapat kemudahan komputer di meja pejabat dan sering berkongsi komputer dengan rakan-rakan yang lain. Meja pejabat pekerja sekadar untuk meletakan barang-barang peribadi. Bagi mereka yang berkemampuan bolehlah membawa gajet atau laptop sendiri ke pejabat. Kata-kata seperti "alah siapalah kita kan" atau "tak apalah nak buat cam mana kan" atau "sabar ajalah, ni semua dunia", acap kali kedengaran dari mulut yang menjadi mangsa keadaan. Kemudahan komputer di meja pekerja tidak dinikmati secara menyeluruh, mungkin disebabkan kekangan prosuder atau apa juga yang sewaktu dengannya.


Isu-isu tidak seberapa inilah yang menyebabkan motivasi sesetengah pekerja menurun dan keseronokan berkerja menjadi hambar. Suara mereka pula kadang-kadang tidak kesampian dan tidak dipedulikan oleh mereka yang bertanggungjawab. Semangat kerja, kadang-kadang hanya berasakan kepada menunggu gaji bulanan sahaja. Ikhlas tapi jauh telah menjadi sebati dalam diri disebabkan kurangnya kasih sayang dan perhatian dari pegawai atasan yang memandang sepi nasib pekerja bawahan ini. Bagi mencapai hasrat dan menangani masalah seperti ini terus berlaku, jalan yang tepat adalah dengan menyertai kesatuan sekerja yang diharapkan dapat membela nasib pekerja yang terabai.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...