Saturday 20 July 2013

Pendirian.....

Dengan nama Allah yang maha pemurah dan penyayang, bersyukur aku kepadaNya kerana masih meminjamkan dan membenarkan nafas untuk aku menjalani kehidupan yang sementara ini. Teringat aku kata-kata seorang ustaz yang mana apabila kita tidur pada malam hari ini belum tentu kita akan dapat menikmati keindahan esok hari, kalau kita terlelap di siang hari belum tentu kita akan dapat menjamah keheningan malam hari. Aku pernah terdengar bahawa tidur adalah satu mati kecil yang mana nyawa kita di rehatkan sebentar, ini semua kerja Allah.

Pagi aku ingin berkongsi tentang Pendirian dengan semua sahabat di alam maya ini. Aku tertarik dengan topik pendirian pada pagi ini kerana ia adalah satu perkataan yang boleh memberi maksud mendalam dan tidak terungkai dengan kata-kata dan tidak dapat dinilai dengan pengelihatan. Pendirian boleh membawa banyak maksud dan uraian dan paling penting Tetap Pendirian adalah sesuatu yang terbaik seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:


“Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.” Riwayat Ahmad


Huraian: Maksud istiqomah ialah tetap teguh di atas jalan yang betul lurus yang membawa keredhaan Allah S.W.T. Dasar istiqomah adalah istiqomah hati iaitu lurusnya hati di atas tauhid. Apabila hati telah beristiqomah kepada Allah dalam erti kata takut, cinta, tawakkal dan mengagungkan Allah maka seluruh anggota tubuh akan taat kepadanya. Ini ialah kerana hati adalah raja kepada badan manakala anggota badan adalah rakyatnya. Anggota terpenting selepas hati yang mesti diberi perhatian serius agar beristiqomah ialah lidah kerana lidah adalah terjemahan hati yang menggambarkan pemikiran seseorang.


Semua manusia yang berakal tidak kira islam atau pun tidak mempunyai pendirian mereka sendiri dan sebagai hamba kepada Allah kita perlu mempunyai pendirian yang kukuh tentang akidah kita agar tidak dapat digugat dan menghormati pendirian orang lain serta jika pendirian seseorang itu bercanggah dengan akidah kita perlu membantu mereka agar ia mendapat petunjuk kebenaran. Jelas setiap orang mempunyai pendirian yang berbeza mengikut matlamat kehidupan seseorang walaupun pada hakikatnya pendirian yang mereka pertahankan mempunyai satu matlamt yang sama iaitu kebahagiaan di dunia dan akhirat, syurga atau neraka.


Aku juga mempunyai Pendirian aku sendiri tentang hala tuju dan perjuangan aku sebagai khalifah di muka bumi ini. Pendirian aku amat jelas dan aku bertekad untuk menjadikan pendirian aku ini sesuatu yang membawa aku menuju untuk bertemu dengan Rasullah dan dapat keredahan Allah. Aku budak tua yang sentiasa belajar mencari ilmu dan dengan ilmu itu aku boleh memancu diri aku dan orang lain untuk menjadi manusia yang sentiasa dekat kepada Allah dan perjuangan aku sentiasa selari dengan kehendakNya. Ramai orang yang aku temui gah berdiri, berjalan dan bersuara penuh dengan ilmu yang tinggi dan lebih ramai lagi yang tidak mengamalkan ilmu yang telah diberi. Berapa ramai yang mendapat gelaran ustaz tetapi ia tidak mampu menjadikan hatinya sebagai ustaz yang mampu memberi contoh dan tauladan kepada diri sendiri dan orang lain. Keadaan ini membuatkan pendirian aku menjadi sedih dan hampa, serta aku terpaksa berkelana lagi mencari ketulusan dan keikhlasan serta kejujuran yang benar-benar memberi impak kepada keimanan dan ketakwaan manusia yang bergelar hamba Allah.


Aku berpegang kepada pendirian aku bahawa tidak semua orang memahami kita dan tidak semua orang boleh menerima pendirian kita dan kita juga tidak boleh untuk memuaskan hati semua serta kita tidak mampu untuk memaksa orang lain untuk memahami pendirian kita. Pendirian aku yang sebegini menyebabkan ramai orang telah memandang serong kepada aku sedangkan aku tidak pernah memandang serong kepada mereka kerana aku menghormati pendirian mereka. Pendirian aku jugak yang menyebabkan banyak perkara aku pendamkan dan aku diamkan demi menjaga hati semua pihak, pernah jugak aku luahkan tetapi ibarat mencurah air di daun keladi habis cakap tetap perkara sama yang terjadi. Oleh itu aku tetap dengan pendirian aku bahawa terus mencari bukannya lari atau merajuk membawa diri cuma aku tetap aku dengan pendirian buat apa "aku bersama lagi jika itu semua tidak mampu mengubah kelemahan diri, lebih baik aku pergi mencari sesuatu yang lebih baik untuk aku jadikan panduan hidup aku ini". Dengan izin Allah mudah-mudahan aku tidak menyesal dan semoga Allah akan menemukan aku dengan apa yang aku cari dan impi walaupun ia memakan masa untuk dikecapi.


Apa yang penting bagi jangan berputus asa dan mengalah untuk menang, biar orang nampak kita seperti mengalah tetapi pada hakikatnya kita sedang mencari sesuatu yang lebih baik dari sebelum ini. Aku takut aku mengalami kerugian di setiap perjuanga dan khuatir ilmu hanya menjadi sia-sia serta aku takut kebenaran dan pesanan aku menjadi debu yang berterbangan kerana niat yang tersasar lari daripada keimanan dan amal soleh serta tidak sabar di dalam menjalankan kehidupan sebagai seorang pejuang.


"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Al-'Asr 103:1-3)


Kesimpulan yang aku dapat huraikan adalah hanya Allah yang tahu tentang diri kita dan kita sendiri tidak mampu untuk membawa diri kita dan hanya Allah yang mampu mengubah diri kita setelah kita berusaha dengan penuh jitu dan berdoa kepadaNya. Berusaha dengan yakin, berdoa dengan memuji dan mengharap pertolongan Allah.


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang ada pada diri mereka ”. QS Ar-Ra'd:11.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...