Saturday 29 June 2013

Dua dunia yang berbeza

Tadi aku pergi menzairahi rumah kawan aku yang baharu sahaja kematian neneknya yang tersayang. Kawan aku ini tinggal di sebuah bandar di dalam satu negeri. Penempatan di sini adalah sebuah taman perumahan yang telah lama dari segi rekabentuk rumah-rumah yang ada di situ. aku merasa hairan apabila aku sampai di kawasan rumah sahabat aku ini kerana sungguh berbeza dengan pemandangan yang biasa aku lihat setiap kali berlaku kematian di kampung aku. Aku terfikir adakah ini sememang adat kehidupan orang-orang di sini atau batas-batas masa atau berita atau keadaan yang menjadi penghalang bagi mereka bersama-sama hadir memberi semangat dan meselami kesedihan bagi mereka yang kehilangan orang yang tersayang. Aku memandang perkara ini dengan berbaik sangka kerana saat kematiannya yang bertindih dengan waktu orang sudah pergi berkerja dan sekolah dan ini yang menyebabkan berlaku situasi seperti itu.

Suasana di kampung sungguh berbeza, bila berlaku kematian jiran tetangga pasti rumah simati akan dipenuhi oleh jiran tetangga termasuk sanak saudara jauh dan dekat. Kaum hawa akan memenuhi ruang dalam rumah sambil membaca yasin dan tahlil dan kaum adam pula sibuk, ada yang berada di tahah perkuburan mengali liang lahad, ada yang sibuk mempersiapkan kemudahan pengangkutan dan bermacam-macam lagi tugas yang tidak perlu diarah oleh tuan rumah. Rumah simati juga akan sentiasa menerima kunjungan orang ramai sehinggalah ke tanah perkuburan.

Secara ringkasnya bukan aku ingin membeza-bezakan keadaan ini, sebagai insan biasa aku membanyangkan pada masa akan datang jika ini berlarutan, takut jika berlaku kematian di kawasam perumahan hanya sanak-saudara dan keluarga sahaja yang ada menziarahi dan membantu keluarga si mati. Walau di mana kita hidup kita perlu menjadikan persaudaraan sebagai teras utama di dalam menjaga hubungan sesama insan agar tidak berlaku kesunyian hidup kerana tiada berteman.

Kesimpulannya kita hidup saling memerlukan tidak kira siapa disebelah, kanan, kiri, atas dan bawah semua adalah jiran tetangga. Bila kita berjiran kita perlu mengambil tahu dan bertanggungjawab menjaga hubungan kita dengan jiran tetangga. Menjaga jiran tetangga adalah perintah yang Allah tujukan kepada umat islam di muka bumi ini berdasarkan kepada  Firman Allah Taala di dalam surah an-Nisa’ ayat 36 :

"Maksudnya: “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri".

Ini sahaja yang mampuuu....








Thursday 27 June 2013

Kisah sama tapi tidak serupa

Pagi ini aku ingin berkongsi pengalaman yang dilalui oleh anak aku ketika di sekolah. Aku ada 4 orang anak yang bersekolah, 3 lelaki dan 1 orang perempuan. Aku bersyukur kepada yang maha Esa kerana anak-anak aku semuanya telah dilantik oleh pihak sekolah sebagai pengawas dan juga ketua dan penolong ketua darjah.  Anak perempuan (Kak Ain) telah memegang jawatan sebagai pengawas selama 2 tahun sebelum ia minta untuk meletakkan jawatan untuk memberi tumpuan kepada sukan dan akedamiknya. Anak aku yang nombor 2 (Angah) pula telah di lantik sebagi Penolong Ketua Kelas di sekolah belaiu, manakala anak aku yang nombor 4 (Bang Uda / Dek Nas) dilantik sebagai Ketua Kelas dan akhir sekali anak aku yang ke 4 (Bang Chik), berusai 7 tahun (darjah 1) telah dilantik sebagai Penolong Ketua Kelas.

Apa yang aku ingin kongsikan adalah berkenaan dengan kisah anak aku yang ke 4 ini. Ketua kelas beliau adalah seorang budak perempuan anak cikgu katanya. Oleh itu banyak tanggunjawab cikgu serahkan kepada anak aku yang penuh taat dan beramanah menjalankan tugasnya. Bang Chik memeng aku kenal seorang agak street jika diminta melakukan sesuatu, ya lah dikatakan budak begitu perwatakannya sentiasa menjalankan tugas dengan penuh tanggunjawab.

Satu hari yang tidak disangka sewaktu aku balik dari kerja, aku dikejutkan oleh Bang Uda yang menceritakan kepada aku bahawa Bang Chik tadi dipanggil ke pejabat sekolah. Berdetup jantung aku kenapa pulak lah ni?. Aku dengan tenang bertanya dengan orang rumah aku apa yang sebenarnya terjadi, rupanya ada seorang ibu kepada murid yang sekelas dengan Bang Chik mengadu kepada cikgu tentang anak aku. Mengikut cerita yang disampaikan anak aku selalu menbuli anak beliau sehingga berdarah dan sehingga anak dia takut untuk ke sekolah. Hati aku bertambah gusar dan terkejut besar kerana setahu aku dan keluarga anak aku ini jenis orang yang penyayang dan susah ingin membuli orang.

Mulanya aku menjadi gelabah jugak sebab ini bukan kes yang kecil jika sampai tercedera. Aku pun cuba menghubungi ibubapa bapa budak tersebut dengan tujuan bertanyakan hal yang sebenarnya tapi malang lain jadinya apabila aku dimaki hamun, dihina dan diherdik dengan kata-kata yang kesat oleh bapa budak tersebut. Aku hanya boleh bertahan dan mendiamkan diri kerana keadaan bapa budak tersebut yang agak berangin bagaikan lupa dia tu makhluk Allah.

Allah maha kaya pada keesokan harinya aku berkesempatan bertemu dengan guru yang bertanggunjawab di dalam hal ini dan aku mengambil kesempatan untuk bertanyakan kepadanya lanjutan kisah ini. Rupanya semua ini berlaku salah faham sahaja. Budak itu tidak pernah mengalami apa-apa kecederaan dan cikgu itu memberitahu apabila ibu budak itu menyatakan secara lisan sahaja tentang apa yang berlaku kepada anak beliau. Bila cikgu meminta untuk dia membuat laporan bertulis agar mudah untuk cikgu membuat siasatan, ibu kepada budak tersebut tidak berani dan tidak mahu menulis laporan tersebut. Ini jelas membuktikan bahawa apa yang disampaikan secara lisan itu tidak berasas. Cikgu jugak memberitahu kepada aku bahawa anak aku hanya menjalankan tugas sebagai Penolong Ketua Kelas dan budak itu agak boleh tahan. Kata cikgu mungkin itu yang menyebabkan budak tu mengadu kat ibunya.

Bersyukur aku bila semuanya telah jelas dan bahawa anak aku bukan seperti yang disangka bukan aku tidak boleh terima cuma jika benar anak aku begitu akan aku lakukan yang sepatutnya dan selepas mendengar keterangan dari pihak sekolah jelas dan nyata bahawa itu semua hanya prasangka. Apa yang dapat aku huraikan di sini, kita sebagai ibubapa jangan terlalu percaya kepada anak kita dan yang paling utama tindakan kita jangan terburu-buru tetapi kita perlu lebih berhati-hati dan menyiasat dengan terperinci sebelum kita membuat sesuatu demi mengelakan sesuatu yang lebih buruk berlaku. Biar kita baiki labu yang rosak menjadi lebih baik, jangan kita menperlakukan labu yang elok menjadi rosak.

Wednesday 26 June 2013

Ah dah semester 5

Pendidikan Jarak Jauh (PJJ), aku tidak pernah termimpi untuk menjadi salah seorang pelajar PJJ. Malam ini aku do terfikir dan terkenangkan kembali diam tak diam aku telah menjangkau 2 tahun PJJ aku dan sekarang ini aku telah masuk semester yang ke 5. Aku macam bermimpi dan benarlah kata kawan-kawan aku yang dahulu, "kau mulakan dahulu nanti kau tahu pejam celik, pejam celik eh dah semester ini..", ungkapan itu sememangnya benar-benar membawa erti yang sangat bermakna di dalam perjalanan aku sebagai pelajar PJJ yang telah tua. Kelas aku ramai yang masih muda belia dan aku rasa hanya 2-3 orang sahaja yang seusia aku.

Bila aku imbas kembali sebelum aku memulakan langkah untuk menjadi pelajar PJJ ini sememangnya banyak pahit dan manisnya. Pada mulanya aku memohon PJJ ini kira-kira 10 tahun yang lepas sewaktu aku mula-mula berkerja tetapi pada keadaan semasa yang banyak menyebabkan aku tertangguh dan semangat itu hilang begitu sahaja. Pada 2 tahun yang lepas secara tidak senaja aku telah memohon untuk PJJ ini, dan aku membiarkan sahaja permohonan aku begitu sahaja, sehingga sauatu hari panggilan telefon yang menyatakan permohonan aku telah diluluskan dan diterima untuk memasuki PJJ tersebut. Kelam kabut aku dibuatnya dan hilang sebentar kewarasan aku kerana bagaikan tidak percaya aku diterima, semangat aku meluap-luap dan membara untuk meneruskan hasrat demi menceriakan hati arwah ibu aku.

Kini aku dah melalui detik-detik kemanisan menjadi pelajar IPTA, walaupun lewat tetapi aku merasa teruja kerana aku dapat membuktikan kepada arwah ibuku yang mengharapkan anak-anaknya berjaya belajar di IPTA. Teringat aku habis dicanangnya tentang aku belajar balik oleh arwah ibu kepada orang kampung dan saudara-mara serta jiran tetangga sehingga aku terasa malu pada waktu itu. Ibu kaulah sumber inspirasi aku untuk aku menghabiskan saki baki pembelajaraan aku di Menara Gading ini. Walaupun banyak dugaan dan halangan yang harus aku tempuhi tetapi aku akan tetap teruskan walaupun aku perlu banyak berkorban dari segi wang ringgit, masa dan tenaga. Demi ilmu yang Allah curahkan akan aku gagahkan jua perjalanan ini demi kejayaan di dunia dan akhirat.


Panjaga Gol Baharu

Aku mendapat berita yang mengembirakan apabila kelab kesukaan aku telah berjaya mendapatkan tandatangan seorang lagi pemain yang konsisten sepanjang musim 2012/2013 bersama pasukan Sunderland. Pemain penjaga gol ini adalah sasaran utama Liverpool dan menjadi matlamat BR untuk meletakan saingan yang sihat di setiap posisi.


 
 
Bekas pemain Sunderland ini mempunyai rekod yang agak baik pada musim lepas nampak paling konsisten dalam Liga Perdana dengan hanya 2 kesilapan individu dalam 38 perlawanan, jika dibandingkan dengan Pepe Reina boleh dikatakan dekat 6 atau 7 kali kesilapan dalam musim ini.



Simon Mignolet nama diberi, pemain kebangsaan Belgium menjadi berita hangat di kalangan peminat Liverpool FC. Walau apa pun aku cukup teruja dengan kepantasan pihak yang bertanggunjawab di dalam pencarian dan pembelian pemain pada tahun ini kerana pemain sasaran dapat ditangani dengan segera, nice job and keep running for the another great players.

Tuesday 25 June 2013

Kisah Semalam

Hari ini aku nak mencoret sedikit pengalaman yang aku baharu semalam tempuhi. Aku dikejutkan dengan suatu keadaan yang telah aku jangka kerana ramai yang dah bercerita tentang dia ini. Kelemahan aku percaya kepada seseorang yang aku dah anggap kawan sekerja. Begitulah kawan kan di depan kita selalunya baik belaka dan dibelakang rupanya tidaklah jahat sangat cuma mulut suka mengadu domba macam budak kecil. Perkara kecil pun tidak boleh nak diselesaikan dengan matang. Kalau aku tengok usia dan watak memang pun dah disangka satu hari nanti dia akan buat jugak benda ini. Aku tidak faham apa yang dia nak sebenarnya dan kenapa dia buat begitu sedangkan selama ini aku banyak cover dia, kalau aku ini jenis sepisis macam dia sudah tentu aku pun boleh memecahkan kantong dia yang penuh habuk tu, berapa banyak aku dah coverkan. Aku berfikiran jauh kerana banyak impak yang akan terjadi dan aku tidak mahu dikatakan pentingkan diri dan suka memijak orang lain.

Telinga aku pon kadang-kadang pon naik panas jugak dengar tentang perilaku dan tingkahlaku dia yang berkenaan kerja si dia ni. Sebagai kawan aku diamkan sahaja dan banyak jugak aku pertahankan dia kerana keyakinan aku bahawa setiap orang kita perlu beri dia peluang untuk memperbaiki diri. Aku pun mengakui bukan diri ini pun memang banyak kekurangan dan banyak benda aku perlu baiki cuma apa yang penting kita mesti pandai mengawal diri.

Walaupun perpatah berbunyi sabar pun ada hadnya bagi aku sabar itu tiada had kecuali dengan perkara-perkara yang batil, kalau kita sabar semakin merebak kita kena bertindak. Dalam hal ini aku kena tenang dan berfikiran matang serta lebih terbuka dan bijak dalam bertindak demi keharmonian semua. Walaupun berat aku menanggungnya yang penting semua dalam keadaan yang terkawal. Kalau aku nak balas dendam pun tiada guna kerana dendam kesumat itu adalah sama seperti syitan yang sentiasa berdendam dengan keturunan Nabi Adam.

Aku bersyukur di atas apa yang terjadi sekurang-kurangnya aku dapat memperbaiki diri dan mengenal diri seseorang agar aku dapat lebih berwaspada serta lebih berhati-hati di dalam perjalanan kehidupan ini. Aku akan perbaiki diri ini dan aku akan cuba untuk sentiasa menjadikan perkara ini sebagai sebuah pengajaran yang akan membantu aku untuk dijadikan panduan arah hidup yang sementara ini dan aku akan tetap mendoakan semoga kawan aku itu akan dapat petunjuk, hidayah dan pedoman dari Allah yang maha besar.

Pemain baru lagi

Seorang lagi pemain baru masuk ke pasukan Liverpool dan ia adalah pemain kedua dari Spain untuk musim perpindahan kali ini dibeli oleh Liverpool. Liverpool tetap liverpool membeli pemain yang bukan dari kalangan mereka yang sudah gah di persada dunia bolasepak.  "IAGO ASPAS SAH MILIK LIVERPOOL" salah satu tajuk berita yang aku baca. Namanya jarang aku dengar dan kalau tidak silap setelah Liverpool sibuk nak membelinya baru aku mengenali pemain ini itu pun melalui YouTube. Aku tetap berfikiran positif tentang BR dan Liverpool tentang pembelian pemain baru ini kerana bagi aku mereka sahaja yang faham dan mempunyai rancangan demi kemajuan pasukan Liverpool.

"The 25-year-old played across the front line and recorded 12 goals and 11 assists from 34 La Liga appearances last season as Celta Vigo finished one point above the relegation zone. Aspas also netted 23 times in the Segunda Division the previous year when the club won promotion to the Spanish top flight." Sumbar : http://www.goal.com/en-my/news/3890/england/2013/06/24/4071024/liverpool-was-always-my-first-choice-says-iago-aspas



Harapan aku dan semua peminat Liverpool sudah pastia agar ia mendatangkan impak yang baik dan seterusnya membantu Liverpool FC mencapai sesuatu yang lebih baik dari musim yang lepas. Selamat datang ke Liverpool dan teruskan perjuangan agar Liverpool FC menuju kecemerlangan.

Monday 24 June 2013

AAAAAAAHHHHHHHHH ke 3

Aku tidak pernah rasa sayu seperti hari ini setelah aku meninggalkan part-time aku yang sangat aku minat menjadi _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _. Berbulan aku menyepikan diri dari dunia ini menyebabkan aku terasa kehilangan sesuatu yang selama ini menjadi teman aku. Tidur malam aku kerap ditemani oleh mimpi-mimpi dikala aku menjadi _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _, benar kata-kata kawan-kawan aku yang mana perkara ini akan mengikuti aku walaupun aku cuba untuk lari kerana ia memang telah sebati di dalam kehidupan aku ini. Secara jujurnya aku benar-benar merindui saat-saat indah, gelak ketawa, gurau senda, pahit manis dan yang paling aku tidak boleh lupakan adalah sewaktu aku bersama dengan mereka yang menjadi matlamat _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _. 

Beberapa hari yang lepas aku ada bertemu dengan SIFU dan THD, berbincang berkenaan dengan satu program yang akan diadakan di sebuah daerah yang sedang dilanda lautan hampas putih. Sewaktu perbincangan tersebut, aku mengambil kesempatan untuk bertanyakan pendapat berkenaan tindakan aku yang masih menyepi dari semua ini. Aku sedar dari terlena panjang, cabaran yang aku hadapi hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan mereka. SIFU dan THD lebih hebat lagi menerima ujian sehingga mereka terpaksa berehat sementara secara paksa dan terpaksa sedangkan aku umpama lari dari perjuangan yang suci dan murni ini. Aku benar-benar sedar tentang kesilapan yang aku telah aku lakukan dan bak kata perpatah terlajak perahu boleh berpatah balik, terlajak cara entahlah hanya takdir penentu segalanya. Aku berserah kepadaNya semoga akan ada jalan dan peluang bagi aku meneruskan perjuangan ini. Aku terasa malu kepada sahabat-sahabat TEAM yang telah lama aku tinggalkan. Aku bertanya kepada diri sendiri adakah aku masih layak bersama mereka dan adakah aku masih diperlukan di dalam TEAM ini setelah apa yang aku lakukan kepada mereka. 

Alhamdulillah bersyukur aku kepada Allah, di atas pertemuan itu yang membuka jalan hati dan keimanan ini tentang nilai sebuah perjuangan yang suci. Setiap orang ada melakukan kesalahan dan kesilapan serta ada kelemahan dan yang paling utama aku perlu mengawal diri sendiri kerana aku tidak mampu mengawal orang lain. Sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w dapat mengawal diri dengan kesabaran, kecekalan, kekuatan semangat dan keyakinan walaupun pelbagai cacian, penghinaan, hasad dengki dan pelbagai lagi halangan dan cabaran dari pihak musuh yang disedari atau golongan munafik yang sentiasa menganggu dan mengharapkan Nabi Muhammad tewas di dalam perjuangan. Oleh kerana kawalan diri nabi yang hebat nabi dapat mengawal diri dari berputus asa, dendam, kecewa serta marah dan nabi meneruskan perjuangannya sehingga mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Aku perlu mengambil contoh keuntuhan jiwa dan semangat Nabi dalam berjuang menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Kesimpulan yang aku boleh huraikan secara ringkas adalah setiap perjuangan ada cabaran, dugaan, halangan dan ujian yang menanti bagi menguji diri kita. Setiap ujian dan perkara yang berlaku adalah sesuatu yang perlu ditangani dengan kematangan fikiran dan kekuatan iman yang kukuh. Masalah yang datang adalah perkara biasa dan yang paling utama bagaimana kita mengawal diri kita sendiri untuk menghadapi semua masalah, kejayaan atau apa jua rintangan dan keselesaan yang akan kita perolehi. Kawal diri untuk kebaikan semua generasi dan demi sebuah perjuangan yang harmoni. ~ Aku Zuray PH (Rindu gak kat gelaran ini)

Sunday 23 June 2013

Pemain yang baharu dibeli

Malam tadi aku belek-belek aku punya telefon tangan dan tergerak untuk melayari laman web berkenaan pasukan kegemaraan aku, wahal aku sebenarnya ingin melihat keputusan perlawanan antara Lions vs Harimau Selatan yang berkesudahan seri 1-1. Beginilah nasib orang tidak memiliki Astro tidak dapat melihat siaran langsung. Sambil aku meniliti keputusan penuh perlawanan tersebut terpandang aku tentang berita yang baru aku terima di mana pasukan Liverpool telah membeli dan mendapatkan tandatangan seorang pemain remaja yan berusia 20 tahun dari Sepanyol. Apa yang aku perasan pada kali ini BR agak agerasif dalam pembelian pemain dan pemain yang dibeli adalah pemain yang mudah dan tidak berapa glomur tetapi berbakat.




Semoga pembelian ini berbaloi dan dapat membantu Liverpool mencapai sasaran untuk musim ini sekurang-kurangnya mendapat tempat ke 4 bagi melayakan Liverpool bermain di pentas Champion League kerana bak kata rakan dan musuh aku Champions League tidak berseri tanpa Liverpool. Buat musuh-musuh Liverpool kita akan bertembung di  Champions League bagi musim akan datang.

Peritnya cuba menjadi penulis

Menulis sesuatu yang bagus dan baik serta yang berisi dan mendatangkan manafaat kepada semua pembaca memang mencabar. Jika kita tahu menulis tetapi tidak faham apa yang kita tulis akan mendatangkan kerugian. Baru aku tahu bukan mudah ingin menjadi penulis, tidak kira sebagai penulis apa pun, kita perlukan otak yang kreatif dan inovatif agar hasil penulisan kita bermutu. Masa berlalu tanpa aku sedari sudah seminggu aku tidak tahu ingin menulis apa di blog aku bukan aku malas nak menulis tetapi seperti yang aku sebutkan otak aku menjadi beku kekurangan idea dan hilang ilham untuk mengarang atau menulis perkara-perkara yang aku sendiri tidak pasti ke mana hilangnya semua idea dan bahan yang aku nak kongsikan.

Kalau aku nak menulis yang bukan-bukan memang boleh le tetapi boleh jalan le, sebab aku ingin menjadi penulis yang agak-agak sempoi tetapi memberi kesan yang mendalam dari segi isi kandungan yang memberi satu kesan yang abadi seperti pengajaran, tauladan, motivasi dan semua yang mendatangkan kebaikan kepada penulis dan juga kepada pembaca agar setiap isi yang ditulis tidak akan melalaikan serta mendatangkan kemudaratan kepada semua.

Mengerah otak untuk mengeluarkan idea adalah saat yang paling berat aku rasakan sehingga boleh mendatangkan rasa bosan untuk meneruskan medan ini. Kadang-kadang terfikir juga bagaimana penulis-penulis yang terkenal, mereka mengerah tenaga dan otak untuk menghasilkan bait-bait kata dan hasil penulisan yang baik serta mampu membuat orang tertarik untuk membaca sehingga ke akhir ayat. Semua orang boleh menulis tetapi bukan semua orang boleh memikat dan memberi manafaat kepada pembaca dengan hasil penulisannya.

Pengajaran yang boleh aku amalkan adalah kita jangan memaksa diri kita untuk menulis sesuatu kerana hasil dari paksaan akan menjadikan hasil penulisan kita hambar dan tidak mendatangkan kesan kepada pembaca kerana ia adalah idea yang tidak ikhlas dan emosi kita yang tidak tenang. Emosi yang setabil, keikhlasan hati dan ketenangan jiwa serta fikiran kita yang tidak dikawal oleh nafsu akan mendorong kita menulis kepada perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan, berbanding jika kita menulis di dalam keadaan sebaliknya. Secara ringkasnya jika kita ingin menulis dengan baik kita perlu perbaiki dahulu keadaan diri kita supaya pengaruh hasil penulisan kita menjadi yang terbaik untuk semua.


Fenomena Jerebu

Pagi Ahad yang amat menguji aku untuk bangun mengerakan diri ke tempat kerja, terasa berat betul badan aku untuk bangkit dari lena. Akhirnya setelah berusaha bersungguh-sungguh untuk bangkit berjaya juga aku bangkit dan seterusnya menjalankan tanggunjawab aku sebagai hambaNya dan juga sebagai pekerja di bawah majikan aku yang setia menanti. Sepanjang perjalanan aku ke tempat kerja penuh dengan kelam yang masih kelam walaupun aku lihat sinaran mentari ada tetapi hilang dalam terang diselubungi jerebu yang masih bertahan sehingga ke hari ini. Bila jerebu melanda terasa sesak nafas kehidupan setiap insan bagaikan esok telah tiada sehingga pelbagai keluhan yang keluar dari mulut setiap insan dunia. 

Jarang aku mendengar insan mengaitkan jerebu ini dengan kekuasaan atau kehebatan Allah yang maha kuasa. Kalu dikaji hadirnya jerebu ini adalah kena mengena dengan keangkuhkan manusia yang begitu senang melanggar hukum hakam yang ditentukan olehNya. Kebanyakan manusia menyalahkan antara satu sama lain tentang kehadiran jerebu ini dan paling ketara ramai yang merasa takut dan cemas terhadap cerebu sehingga ramai yang khuatir denga kesihatan mereka akan tercemar melalui jerebu ini. 


Bukan aku ingin menafikan keutamaan utama menjaga kesihatan, cuma kau begitu pelik memikirkan betapa ramai yang khuatir dengan jerebu berbanding khuatir diri mereka yang tidak sempurna solatnya. Aku lihat sendiri betapa seseorang itu begitu bimbang, takut terjejas kesihatan katanya kerana jerebu tetapi tetap tiada peningkatan kualiti di dalam solatnya. Aku juga melihat betapa sang wanita ghairah menutup mulut dan hidungnya bagi menghalang jerebu menerjah masuk ke mulut dan pernafasannya dan pada waktu yang sama auratnya tetap dengan rasa bangga dibenarkan untuk dipamerkan kepada mereka yang berdosa melihatnya. Jika difikirkan dengan mendalam antara aurat dan jerebu mana yang lebih utama dan mana yang lebih penting untuk diselamatkan?, kan lebih baik jika kedua-dua itu dipelihara dengan baik agar selamat kesihatan dan kerohanian.


Kesimpulan yang aku dapat adalah bahawa jerebu adalah dari kerosakan tangan-tangan manusia yang masih lagi gagal dalam menunaikan amanah yang Allah berikan kepada kita contohnya di dalam menjaga alam sekitar yang mana alam sekitar adalah makhluk Allah juga yang perlu kita hormati dan sayangi. Begitu juga kedegilan manusia di dalam memahami erti menjaga amanah aurat yang terpelihara menjadikan banyak musibah melanda sebagai peringatan dariNya.


“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu Maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)” (QS As-Syuraa 30).


Saturday 15 June 2013

Baju Bola Liverpool

Aku nak bercerita sedikit tentang baju bola pasukan kegemaran aku iaitu Liverpool, ramai yang menbincangkan keadaan kesemua baju-baju tersebut. Bagi pandangan aku kesemua baju bole Liverpool kali ini sungguh menarik perhatian kepada yang suka ataupun kepada mereka yang tidak berapa suka terutama sekali mereka yang tidak berapa nak minat dengan Liverpool. Aku akan paparkan beberapa helai baju bola Liverpool untuk musim 2013/2014. 

Satu 

Baju Tuan Rumah



Baju tetap berwarna merah, warna rasmi The Reds, yang menjadi iguan semua pasukan lain, bagi aku tradisi Liverpool berwarna merah yang menarik melambangkan keberanian dan pewira serta melambangkan semangat Liverpool untuk musim akan datang ini. Aku rasa tidak perlu dipertikaikan lagi tentang kehebatan baju Liverpool ini kerana kita akan merasai semangat wira yang membara bak bara api yang meyala.

Dua

Baju Di Tempat Lawan



Secara peribadi aku meminati baju bola Liverpool ini kerana ia direka khas lain dari yang lain, walaupun ramai yang menghentam rekaan baju ini aku tetap berpuashati dan bagi aku ini lah Liverpool lain dari yang lain dan ia memberi makna yang mendalam bagi perjalanan Liverpool di musiim akan datang. Putih yang suci, barisan merah yang menjadi jalan keberanian, hitam itu menawan dan corak yang menarik setiap pemerhati samada yang suka atau yang benci. 

Ketiga

Baju Yang Ketiga


Wow! bagi aku sememangnya aku akan membeli baju ini sebelum aku membeli baju yang lain kerana ia sememangnya berbeza dangan baju-baju yang lain. Aku yakin orang akan lebih mudah mengenali orang yang memakai baju ini sudah pasti peminat setia Liverpool.

Kesimpulan jika kita peminat yang setia dan kita sememangnya pengemar dengan pasukan kita, usahlah kita sentiasa memandang negetif dengan apa yang mereka hasilkan. Bukan mudah mereka utnuk mencipta sesuatu dan bukan senang mereka untuk memuaskan hati semua pihak. Good Liverpool teruskan perjuangan  agar musim akan datang ini akan memberi satu keputusan yang lebih baik dari sekarang.

AAAHHHHHHHHHH kali ke 2.

Sekali lagi aku diuji oleh perasaan aku sendiri, kali ini aku didatangi oleh serikandi dari team yang hampir 6 bulan aku membawa diri. Entahlah kali ini aku rasa lain macam perasaan aku, terkejut campur terharu pun ada dan serta merta aku terasa sesuatu perasaan sedang menguasai fikiran dan diri aku. Kata-kata serikandi ini betul-betul menusuk dan menikam perasaan aku terhadap kenangan sewaktu bersama team tersebut. Aku sangat menghormati serikandi walaupun pelbagai cerita yang aku dengar tetapi dari awal sekali aku bersama team ini sememangnya sudah mengagumi dan menghormati tentang semangat dan perjuangan beliau. Masuk ini kali kedua aku berbicara dengan si serikandi walaupun hanya sebentar tapi aku benar-benar tersentuh dengan kata-kata dan semangat yang beliau tunjukkan. Maka terpanculah dari mulutku samada dari perasaan aku yang benar atu khayalan aku pun tidak pasti In Sha Allah tahun 2014 akan aku kembali disambut dengan satu senyuman dari sahabat-sahabat aku yang ada bersamanya.

Petangnya pula, aku terserempak dan berbual dengan sifu aku yang banyak mendidik dan mengajar aku menjadi seorang pejuang. Dari raut wajahnya aku benar-benar terharu dengan kata-kata beliau yang sungguh menyentuh hati dan perasaan serta semangat lamina aku. Walaupun sedikit sahaja kata-kata beliau tetapi cukup untuk merentap rasa menusuk kalbu sehingga aku lemas di arus keegoan aku yang semakin hari semakin menipis. Aku semamangnya menghormati sifu aku ini kerana semangat, pengalaman, ilmu dan ketabahan beliau mengahadapi pelbagai dugaan dan ujian di dalam perjuanan tidak dapat ditandingi oleh ahli team yang lain. Pada satu ketika seperti ada satu pakatan untuk menyingkirkan beliau tetapi Allah lebih hebat dari manusia walaupun pada hari ini beliau digantung tugas bersama team ini, tetapi semangat dan kecekalan beliau masih dapat dirasai di dalam team ini. Hasil dari perbualan aku dan sifu menyebabkan terpancul perkatan bahawa aku akan kembali menyambung perjuangan sifu cuma tarikh dan waktunya tidak ditetapkan lagi dan aku cuma berjanji akan kembali dan melupakan apa yang telah terjadi serta perkara yang sama aku ucapkan kepad serikandi cuma masanya menjadi lebih pendek lagi, In Sha Allah lepas raya saya akan kembali jika dijemput lagi.

Apa yang bermain difikiran aku adalah, adakah ini petunjuk atau pembuka jalan dari Allah yang maha Esa bagi aku kembali ke team ini setelah berhari-hari aku memohon akan diberikan petunjuk dan jalan yang benar tentang tindakan aku ini. 

Dua persitiwa yang aku tidak jangka dan disambung pula dengan persitiwa pagi tadi disebuah warung aku bertemu pula dengan salah seorang rakan team yang aku hormati dan pernah mencipta cerita "Patah Kaki" yang tak akan aku lupakan sepanjang hidup aku. Sekali lagi aku diajukan pertanyaan yang sama dan hanya sekitika tetapi menyentuh hati dan berlegar-legar difikiran aku kisah suka, duka, gelak, ketawa, sediah dan gembira sepanjang aku bersama team ini. Jika ini semua adalah petunjuk dariNya aku redha untuk meneruskan apa yang perlu aku lakukan demi kebaikan semua, sama ada aku atau siapa sahaja. Semoga ini akan mamberi sesuatu yang penuh bermakna dan menafaat kepada semua tidak kira mereka yang terlibat atau pun tidak dan semoga ia menjadi rahmat dan mendapat keberkatan dari Allah yang maha Esa.

Salah aku atau dia

"Ini semua salah orang bukan salah aku" dan "Aku tak bersalah" dan "Apalah orang ni buat semua tak betul" dan "Kalau akulah aku tak buat macam tu" dan "Buat macam ni pun tak boleh" dan "Bodoh punya batu sakit tau" dan "Sapalah yang letak benda ni kat sini" dan lagi dan lagi, itu adalah ayat atau keluhan yang selalu kita dengar dari mulut makhluk yang digelar manusia. Apabila sesuatu yang berlaku atau terjadi dan mengenai diri sudah pasti perkara pertama yang dilakukan adalah menuding jari kepada yang lain untuk disalahkan. Perkara yang boleh dibuat contoh adalah apabila berlaku musihabah atau sesuatu kejadian yang tidak sepatutnya contohnya tersepak batu atau terlanggar dinding, sudah pasti dinding dan batu itu disalahkan terlebih dahulu dari menyalahkan diri sendiri, sedangkan batu dan dinding tersebut sudah lama berada di tempatnya. Apalah salahnya kalu kita lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada untuk mengelak dari kejadian melanggar batu atau dinding.

Apabila bercerita tentang ini begitu juga dengan realiti kehidupan sekarang ini terutama situasi di tempat-tempat tertentu contonya di tempat kita mencari makan. Bila kerja berjalan dengan baik semua mengaku bahawa itu "aku yang buat" dan "kalu tak ada aku tak jadi punya" dan "kan aku dah cakap" dan " Kau tengok betul tak aku cakap", semua ini akan keluar dari mulut masing-masing yang terlibat dan sekiranya berlaku sebaliknya semua berdiam diri dan keluarlah kata seperti yang tertulis di atas. 

Kenapa diam? bila berlaku sesuatu yang tidak seperti difikirkan kerana semua orang takut untuk mengaku salah dan menganggap diri sendiri sahaja yang betul. Budaya suka menyalahkan orang lain dan merasa diri sendiri sahaja yang sentiasa betul akan menyebabkan kita lupa bahawa kita ini adalah makhluk Allah dan hanya Allah sahaja yang benar. Budaya ini juga akan menyebabkan semangat persudaraan akan luntur dan hasilnya kan menyebabkan kehidupan kita berpecah-pecah dan berpuak-puak sehingga terbentuklah pelbagai kumpulan tertentu walaupun berkerja di dalam satu bumbung.

Kesimpulan dari situasi ini adalah kita perlu belajar menyalahkan diri sendiri dan mengkaji kekurangan diri sebelum kita mencari silap orang lain kerana kadang-kadang kita tidak perasan kain yang kita pakai koyak walaupun pada saat itu kita sedang mengata tentang kekoyakan kain yang dipakai orang lain. Apabila kita suka mencari salah orang, orang juga akan suka mencari salah kita maka tiada akhirnya dan orang lain akan lebih menghormati kita apabila kita mangaku salah dan memperbaiki kesilapan diri kita sendiri.

Allah swt berfirman dalam Surah Al Hujarat Ayat 12 bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.


Sabda Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam yang bermaksud:


“Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)




Friday 14 June 2013

Pagi yang ceria!

Pagi ini aku terasa ceria sangat, kenapa? aku pun tidak tahu. Aku terasa seperti di dalam semangat baharu mengalir di segenap tubuh aku dan aku pun tidak pasti adakah ianya ini untuk seharian atau hanya sekadar dipinggiran. Aku berharap ia akan berlarutan dan bukanya hanya sekadar persinggahan. Bersemangatnya aku pada hari ini sehingga aku mencipta sejarah dalam hidup aku apabila aku dapat menghantar anak aku ke sekolah sebelum 06.45 pagi dan aku sampai ke mesin slide kerja tepat jam 07.18 pagi. 

Ini adalah sesuatu yang jarang aku dapat lakukan kerana sebelum ini paling awal pun aku dapat sampai pada jam 07.30 pagi. Fuh! dasyat jugak aku ni ni dikira riak ke?.. bukan aku riak cuma aku terharu dangan semangat aku ini dan yang paling aku rasa teruja adalah semangat aku nak menyelesaikan banyak perkara di tempat kerja. Mudah-mudahan aku akan dapat menyelesaikan banyak perkara yang tertangguh sebelum ini.

Kesimpulan dari semangat ini aku dapat ungkaikan bahawa semangat ini datangnya dari diri kita sendiri. Kita perlu berusaha untuk memajukan diri kita sendiri dan yang paling penting kita perlu mendampingi diri lebih rapat kepada yang maha Esa kerana hanya Dia yang mampu menjaga dan memajukan diri kita.

Thursday 13 June 2013

Liverpool ku


Musim perpindahan pemain sedang rancak berlaku, pelbagai andaian dan gossip serta kabar-kabar angin berterbangan menyingahi ke ruang massa dan maya. Aku pun tidak terlepas dari asakan berita ini keranan aku sememangnya berminat mengetahui perkembangan pasukan yang aku minati ini. Setiap hari aku akan meneliti dan menyusuri setiap maklumat terkini mengenai perkembangan terkini berkenaan pemain yang akan datang dan pergi. Kadang-kadang terasa sakit juga di hati bila membaca berita masih tidak dapat menepati kemahuan diri. Apa yang perlu diingat ini pasukan bukan kita yang beli, dan hanya layak sebagai pemerhati. Kalau dah begitu tak usahlah susah hati terimalah seadanya dengan senang hati jatuh bangun biarlah orang yang pakar menyelami, tidak usah kita sibuk-sibukkan diri, lebih baik jadi pemerhati.


AAAAAHHHHHHHHHH!!

AAAHHHHHH! sekali lagi aku didatangi oleh sahabat yang cuba memujuk aku untuk menyertai kembali team itu dan sekali lagi aku tidak mampu untuk memberi jawapan yang konkrit dan sekali lagi lagi keegoan aku tercabar. AAAAHHHHH! Apa yang harus aku lakukan, berdiam diri lagi, memberi keputusan dengan serta merta, menolak atau apa-apa sahaja. Semuanya bermain-main di dalam fikiran aku sekarang ini. Apa juga keputusan yang aku buat mesti berteraskan kepada keimanan dan ketakwaan, keikhlasan hati dan nurani agar ia tidak menjadi permainan duiniawi. AAAAAHHHHH! Sekali lagi aku akan menyerahkan diri ini kepada yang maha Esa agar aku mendapat petunjuk agar diri ini dapat petunjuk yang baik dan membawa perjalanan hidup ini ke Syurga yang penuh nikmat.

Wednesday 12 June 2013

Fuh pening jugak nk isi markah bebudak ni, tak pernah aku rasa macam hari ini, penuh tanggunjawab aku dibuatnya. Apa boleh buat dah kerja kau so dengan ikhlasnya aku kena buat bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan kerana ini adalah kerja yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak. Markah ini juga adalah hak mereka yang telah bersungguh-sungguh untuk mendapatkanya. Kalau aku tersalah isi pasti mereka kecewa dan akan mempersoalkan kewibawaan aku. Rasanya payah juga semester ini aku nak isi markah ini, banyak pulak dia punya keresahan, takut tidak menepati piawai yang diberi. Markah aku dah isi cuma belum final lagi sebab aku nak lihat dan nilai balik disebalik ketepatan dan kelayakan setiap orang berkenaan dengan markah yang dia orang dapat ni. Fuh selamat menjalankan tugas dengan penuh tanggunjawab.

Luahan pepagi ini..

Pagi ini aku dah buat hal dah, tetiba je aku jadi sensitif ke mood tak baik ke, aku pon tak tahu. Mana taknya pagi-pagi dah ada yang menlanggar mood happy aku, sabar le dulu kalau ya pon asyik nak langgar orang je, tahu le aku punya kerja tak payah nak ingatkan setiap masa. Mentang-mentangle dia punya kepentingan asyik nak ingatkan sahaja, cuba kalau orang lain punya kepentingan buat dek je. Itulah pasal aku kadang-kadang malas nak layan orang yang macam ni, pas tu kena sound sikit tidak boleh terima tapi bab kalau dia sound orang macam le orang ni boleh terima semua.

Manusia oh manusia begini le manusia semua rasa dia sahaja betul orang lain kurang betul tapi dia tidak sedar setiap kali dia menyelak kesalahan orang sebenarnya dia sedang memaparkan kelemahan dan kesalahan diri sendiri.

Kalau ikutkan rasa panas aku ni nak sahaja aku, tapi aku teringat peringatan yang selalu orang rumah aku cakap, "ujian Nabi Muhammad lagi besar tau, tapi Nabi Muhammad bersabar sahaja", "Gunakan le formula Rasullah tu tidak rugi di dunia dan akhirat". Bab ini yang menyebabkan aku insaf, sememangnya ujian yang Allah berikan kepada Rasullah lagi hebat dari yang aku terima dan teringat aku sebahagian riwayat yang menyatakan bahawa Allah akan memberi ujian ini mengikut kekuatan dan kemampuan sesorang itu.

Kesimpulan yang aku dapat dari persitiwa ini adalah, aku perlu lebih bersabar dan aku perlu lebih bijak dalam menangi setiap masalah mengikut situasi yang tertentu. Jangan sesakali mengaku kalah dan jangan mudah berputus asa di setiap ujian dan cabaran yang Allah berikan kerana Allah maha adil dan seksama serta Allah tidak pernah membebankan setiap hambaNya.

Thursday 6 June 2013

Berkerja setelah 5 hari bercuti

Aku berkerja setelah 5 hari bercuti, kalau ikutkan hati aku sememangnya aku menyambung cuti lagi bagi meneruskan misi aku yang ingin berehat bersama keluarga aku tapi bila fikir balik dah tanggunjawab aku kena kerja maka nak tak nak aku kene jugak pergi ke tempat kerja. Sepanjang perjalanan aku ke tempat kerja semua serba tidak kena air cond kereta yang sejuk pun aku rasa panas, radio kereta yang selama ini aku syok dengar pon rasa tidak berapa syok, habis aku cari siaran yang lain dan akhirnya Qasidah juga yang menjadi teman perjalanan aku ke tempat kerja. Secara jujurnya keyakinan dan semangat aku berkerja untuk hari ini memang telah hilang dalam terang walaupun aku cuba memaksa diri ini untuk menghayati kerja-kerja yang setia menanti aku namum ia tidak banyak membantu, oh! pedihnya hati ini. 

Apa yang aku boleh buat untuk malam ini hanya merenung dan berkongsi dengan kawan-kawan tentang apa yang berlaku disepanjang aku bercuti dan mendengar rintihan beberapa orang kawan-kawan tentang apa yang berlaku disepanjang ketiadaan aku selama 5 hari. Banyak perkara yang aku tertinggal dan banyak perkara jugak yang aku tidak dapat menghayatinya kerana aku malas nak layan bagi memujuk hati ini agar semangat aku nak berkerja kembali semula. Sekarang ni pon aku sedang mengira waktu untuk pulang ke rumah, terdengar suara anak-anak aku yang semuanya sememang hebat berbicara. Aku juga sedang menanti waktu untuk menjalankan tugas yang sepatutnya aku buat pada malam ini.

Waktu pun dah berlalu aku rasa cukup untuk malam ini luahan dari aku untuk dikongsi bersama rakan-rakan cyber sebagai tauladan dan jugak pengajaran yang sedikit untuk semua. Kesimpulan yang aku dapat huraikan adalah jangan cuti lama-lama kerana ia boleh menyebabkan mood kerja kita hilang dalam terang dan kalu kita dah nak berkerja kita perlu ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana rezeki yang kita cari ini adalah halal untuk keluarga dan diri kita juga.

Perubahan yang aku takuti

Malam ini aku rasa sunyi walaupun penuh dengan bunyi tetapi aku tetap rasa sunyi, tidak tahu apa yang aku fikirkan. Fikiran masih melayang mengenangkan detik-detik perjalanan aku yang semakin hari semakin dekat dengan penghujungnya.

Setiap kali aku memikirkanya hati aku menjadi sayu campur terharu dengan nikmat yang dikurniakan kepada aku dan kehidupan aku. Kadang-kadang aku rasa takut dengan keadaan hidup aku ini adakah dengan nikmat ini menyebabkan aku menjadi lalai dan alpa dengan tanggunjawab aku sebagai hamba kepadaNya yang Satu.

Kerap kali aku merenung kembali setiap detik perjalanan hidup aku yang sentiasa berubah dari hari ke bulan ke tahun. Banyak perubahan yang aku alami sehingga aku takut dengan perubahan ini menjadikan aku sentiasa berubah-ubah. 

Perubahan sentiasa berlaku di dalam kehidupan ini tidak kira sewaktu kita sedar ataupun tidak, perubahan akan menghantui diri kita jika kita berubah kepada perkara yang kita tidak jangka dan menjadikan diri kita berubah arah dan dentinasi. 

Perubahan juga akan menyebabkan kita teruja dan bangga sehingga kita lupa diri . Perubahan juga akan menjadikan kita merasa gembira dan tenang sehingga dengan perubahan itu menjadikan kehidupan kita menjadi-jadi. 

Apa yang aku dapat lakukan adalah dengan terus berusaha sedaya-upaya aku untuk mempertahankan arus perubahan aku agar aku tidak berubah dan dapat mengekekalkan perubahan aku agar aku tidak terus hanyut dengan perubahan yang aku alami.

Malam sudah semakin sepi suara bunyian jugak telah hilang dari telinga dan aku pun sudah rasa perubahan mata aku yang semakin lemah dan tahap kecergasan otak yang semakin berkurangan, maka aku perlu berubah sekarang agar aku dapat mempertahankan perubahan untuk esok hari.

Tuesday 4 June 2013

Semangat Perjuangan Harmoni

Akhirnya aku berpeluang untuk bercoret di sini setelah sekelian lama aku tengelam, biasa le aku kan bak kata orang yang dekat aku "ibarat hangat-hangat tahi ayam".. memang betul kalau aku fikir dan renungkan banyak perkara yang aku buat pada awalnya penuh semangat, pertengahannya menjadi biasa dan akhirnya menjadi seperti biasa. Tah malam ni aku boleh pulak bersemangat nak coret-coret kat aku punya blog yang dah lama aku tinggalkan sehingga aku hampir terlupa kata laluannya. Alhamdulillah cubaan ke dua berjaya. Tiada apa yang menarik untuk dikongsi setakat ini dan banyak benda kalau betul-betul aku nak tulis memang banyak perkara yang boleh dikongsi tapi biasalah aku suka menyimpan sendiri.

Baru-baru ini aku dikunjungi oleh kawan-kawan seperjuangan sewaktu waktu dahulu, aku jemput mereka makan kenduri kesyukuran kat rumah aku, walaupun ada yang tidak sempat untuk hadir tetapi ramai jugak yang aku tidak jangka sampai ke rumah aku. Hati aku tersentuh sesuatu daripada kunjungan mereka itu yang membuat aku serba salah dan rasa bersalah. 

Sejak aku duduk sebilik dengan seseorang rakan aku sewaktu aku berada nun di utara, aku sememangnya sudah menjadi serba tidak kena dengan pendirian aku ada kalanya aku tersentuh dangan kata-kata rangsangan yang hampir membunuh keegoan aku dan yang paling aku terkesan apabila ia menyatakan "itu kau punya dan hak kau, kau yang buat, walaupun orang lain boleh buat tapi hasilnya tidak seperti kau yang buat"

Kesenimbungan persitiwa di Utara, sekali lagi keegoan aku teruji dengan tembakan kata-kata dari dua orang sahabat yang aku hormati.  Kata-kata mereka betul-betul membuat fikiran aku melayang dan semangat perjuangan harmoni aku menjadi tidak tenteram. Aku tahu mereka berdua menggunakan pendekatan yang menyentuh kelemahan aku sehingga aku terpaksa berfikir semula, setelah aku dapat melupakannya selama hampir 5 bulan. Antara kata-kata yang menyentuh hati aku "sekarang ni tiada lagi cerita Pak Samad dan tiada yang mampu memberi kata-kata yang dapat menaikkan semangat mereka" dan "dah tidak macam dahulu, serupa tapi tidak sama macam ada kekurangan".  Mereka ini benar-benar memahami diri aku dan sememangnya aku mengenali 2 orang insan ini lebih lama dari rakan seperjuangan aku yang lain.

Mereka memang membuat aku serba salah, kalau mereka tahu apa yang aku pendamkan adakah mereka akan terima. Sehingga ke hari ini aku masih lagi tertanya-tanya "Akukah yang bersalah" atau "Ini semua salah....." yang tidak mampu aku sebutkan. Biarlah mereka tidak tahu kerana aku percaya ramai yang akan tidak dapat menerimanya kerana aku sedar siapa aku dan kekurangan diri aku dan paling penting aku bukan mereka dan mereka bukan aku serta sememangnya aku merindukan semangat perjuangn harmoni yang mula-mula aku menyertai mereka yang penuh dengan keikhlasan, kesucian hati dan nurani, keimanan dan ketakwaan. Memori yang banyak mengajar aku erti kehidupan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...