Monday 26 November 2012

Suka-suka

Burung Selasih di tepi kotak,
Datang nenek masak kari,
Jangan cakap terlalu gempak,
Tiba masa terus lari.

Pokok jati tegak di hutan,
Tukang datang dibuat titi,
Kenalah kini si anak jantan,
Tidak lari tetap menanti.

Di waktu subuh nampak purnama,
Hendak dicapai terlalu tinggi,
Langkah dan teknik biar sempurna,
Jangan nanti jatuh tersungkur lagi.

Harimau Malaya tidak cukup bertapa,
Sanga singa pula sememangnya handal,
Terketar ketar bukanya apa,
Tidak sabar rasanya nak membedal.

Demi Masa Depan

Semalam aku berkesempatan menghantar anak aku ke salah sebuah sekolah Arab yang agak terkenal di bandar Kluang bersama isteri, anak dan seorang kawan isteri bersama anaknya. Tujuan aku kesana adalah untuk menghantar anak menghadapi ujian kelayakan kemasukan kesekolah tersebut. Hampir seharian kami di sana menanti keputusan ujian tersebut samada anak kami layak ataupun tidak. Alhamdulillah, setelah hampir 6 jam menanti akhirnya keputusan dikeluarkan dan anak kami layak untuk meneruskan pengajian di sekolah tersebut bermula pada 12 Januari 2013. Apa yang menarik perhatian aku adalah semasa taklimat bersama pengetua sekolah tersebut yang telah membuka hati, fikiran dan mata aku. Perkara yang paling utama dan penting nasihat beliau adalah niat menghantar anak kita ke sekolah tersebut perlu dibetulkan dan dikhususkan kepada Allah s.w.t. Ucapan lain, beliau menekankan jika kita ingin melihat anak kita berjaya di dunia dan akhirat, ibubapa dahulu perlu membentuk diri mereka menjadi hamba kepada Allah dunia dan akhirat bagi membantu mumudahkan anak-anak kita mempelajari ilmu Allah, dan yang paling menarik perhatian apabila dia berkata ramai orang yang boleh mencapai kecemerlangan akedamik dan berapa ramai orang yang mampu mengecapi nikmat kejayaan akhirat. 

Aku dan isteri sememangnya telah lama mengharap anak aku akan dapat meneruskan pengajian di sekolah tersebut setelah mendengar dari teman-teman tentang kualiti yang dihasilkan oleh sekolah tersebut. Ibubapa mana yang ingin melihat anaknya gagal dan ibubapa mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya di dunia bahkan yang paling utama anaknya dapat membantu mereka sepanjang hayat sehingga ke akhirat. Sebagai mana yang disebutkan oleh pengetua sekolah tersebut di mana anak-anak yang soleh dan solehah akan dapat membantu meningkatkan saham ibubapa mereka sehingga ke akhirat. Ketegasan menjadi intipati kaedah pembelajaran disekolah tersebut dan semua mesti berani dan sanggup mengorbankan banyak masa, tenaga dan kos bagi mencapai objektif. Mengalir juga air mata aku bila mendengar taklimat yang disampaikan dan akan aku gagahkan diri aku untuk menempuh dugaan dan cabaran bagi mencapai apa yang setiap ibubapa inginkan terhadap anak-anak mereka. Apa yang mampu aku alakukan sekarang adalah berdoa dan menyerahkan semuanya kepada Allah semoga melindungi, memberi rahmat, memudahkan dan menerangkan hati anak aku di dalam pembelajaran mendalami kesucian Al-Quran dan Sunnah.


Saturday 17 November 2012

Berlapang Dada

Tanggal 9 November 2012 saat yang ditunggu telah tiba, bukan sahaja aku yang menanti tarikh ini bahkan kawan-kawan aku jugak yang lain. Tarikh ini adalah penentu aku samada aku akan teruskan perjuangan dan impian atau cukup-cukup sudah tidak perlu lagi aku teruskan apa yang telah aku usahakan selama dua tahun setengah. Aku yakin semua kawan-kawan aku pun berdebar-debar, terutama dengan satu perkara yang mencabar kami semua. Alhamdulillah itu yang mampu aku ucapkan kerana ia memberi seribu kegembiraan kepada hidup aku. Keadaan ini memberi aku satu semangat baru untuk aku terus berusaha dengan lebih tekun. Tiada yang mustahil di dunia ini dan Allah maha besar dan berkuasa di atas sesuatu. Allah yang banyak menolong aku walaupun tidak semua permohonan doa aku dimakbulkan tetapi aku yakin telah banyak Allah memakbulkan permintaan aku. 

Akan datang pada tarikh 19 November 2012, sekali lagi aku menanti dengan debar yang teramat sangat, tarikh itu akan membawa satu lagi perkabaran yang tidak dapat lagi diterjemahkan sekarang. Walau apa pun keputusan yang akan diterima aku akan menerimanya dengan hati yang terbuka kerana keyakinan aku kepada Allah melebihi semua. Aku manusia biasa yang bukan maksum seperti nabi Muhammad s.a.w, ada kalanya tidak dapat juga menahan perasaan kecewa, marah, putus asa dan macam-macam lagi. Bila difikirkan semula, itu semua mainan perasaan yang diselubungi oleh bisikan syatian yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan kita. 

Apa yang aku mampu lankukan adalah dengan mendidik diri untuk sentiasa bersikap berlapang dada dan sedia menerima kenyataan serta sentiasa yakin setiap apa yang Allah berikan adalah sesuatu yang terbaik bagi hambaNya. Kadang-kadang yang kita rasa baik untuk kita sebenarnya buruk bagi Allah dan yang buruk bagi kita sebenarnya adalah yang baik bagi Allah. Apa yang pasti kita perlu yakin tiap sesuatu yang Allah berikan kepada kita ada hikmah disebaliknya.

Monday 5 November 2012

Hujan Datang lagi

Hujan oh hujan dia dah mai dah, hujan adalah rahmat kepada alam semesta dan doa yang mustajab adalah dikala hujan turun. Aku rasa dah seminggu hujan turun di seluruh kawasan tempat aku berkerja dan tempat penginapan aku. Sana-sini aku tengok air sudah mula naik memenuhi ruang yang sebelumnya kontang. Seperti biasa bila hujan turun pelbagai suara kedengaran, ada yang bersyukur dan tidak kurang yang mengeluh dengan penuh kebimbangan. Pokok pangkalnya apa salah hujan? adakah hujan yang bersalah atau Allah yang menurunkan hujan juga bersalah?. 

Bila kita fikirkan secara mendalam dan dengan penuh keimanan kita akan dapat jawapannya dengan tepat, hujan adalah kurniaan Allah kepada makhluk di muka bumi ini.  

  1. Hujan sebagai rahmat kepada manusia. Firman Allah s.w.t di dalam surah As-Syura :28 yang bermaksud : "Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya merata-rata dan (ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsan-Nya), lagi Yang Maha Terpuji. (As-Syura:28). 
  2. Hujan sebagai ujian kepada dan azab kepada umat manusia seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud : Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan. (al-A’raaf:84).
  3. Hujan juga sebagai satu keperluan kepada manusia seperti yang tertera di dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud : Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa! (Hud:52). 
Begitulah antara peranan hujan yang Allah turunkan di atas muka bumi ini yang memainkan peranan demi kebaikan semua makhluk ciptanNya. Sebagai seorang muslim yang sejati dan berkeyakinan dengan kekuasaan dan keagongan maha pencipta kita tidak perlu risau dengan kehadiran hujan yang melimpah ruah ini kerana setiap apa yang Allah kurniakan ada hikmah disebaliknya. 

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu,padahal ia amat buruk bagimu.Allah mengetahui,sedang kamu tidak mengetahui."
( Surah Al-Baqarah:216)

"...dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
(Surah Yusuf:12)




Saturday 3 November 2012

Ujian yang menguji diri

Setiap manusia akan diuji oleh Allah dengan pelbagai ujian bagi menguji keteguhan keimanan dan ketakwaan seseorang bagi menentukan kadar kesabaran dan kekuatan seseorang itu menerima ujian yang diberikan dengan kelapangan dada atau menerima ujian tersebut dengan keadaan marah dan tidak menerima ujian tersebut dengan hati yang terbuka. Aku tidak terkecuali antara yang menerima ujian tersebut selama sebulan aku diuji dengan pelbagai ujian yang perlu aku tempuhi dan hadapai dengan kelapangan dada atau menerimanya dengan pra sangka buruk kepadaNya.

  1. Aku menghadapi sedikit masalah kewangan pada bulan ini.
  2. Aku terpaksa menyelesaikan tugasan di Shah Alam selama 5 hari yang berasingan.
  3. Aku terpaksa berulang alik ke Shah Alam selama 5 kali dalam masa sebulan.
  4. Sewaktu berhenti di RNR aku didatangi oleh seorang pemuda yang memohon bantuan kewangan.
  5. Kereta aku dilanggar oleh orang.
  6. Motor aku rosak.
  7. Sekali lagi aku didatangi oleh sesorang yang memohon bantuan kewangan
  8. Dan pelbagai lagi yang tidak mampu aku menulisnya.
Apa yang pasti semunya terjadi dalam masa sebulan dan diwaktu itulah kewangan aku sedang mengalami kejutan budaya dan perlu diagih-agihkan ke pelbagai perkara dan ini adalah ujian yang benar-benar aku rasakan bahawa ia memerlukan kekuatan untuk kita menempuhinya dan sewaktu ini aku teringat kata-kata seorang sahabat aku "jangan sekali-kali kita berpersangka buruk kepada Allah....."

Konvo datang lagi


Hari ini 3 November 2012 adalah tarikh bermulanya, Majlis Konvokesyen UTHM ke 12. Aku perhati ramai orang yang hadir bagi meraikan majlis ini termasuk ibu bapa dan sanak saudara yang hadir bagi turut sama bergembira bersama dengan mereka bagi meraikan kejayaan yang mereka dapat setelah berhempas pulas memerah otak dan tenaga serta wang ringgit selama 2-4 tahun di UTHM. Tahun ini juga adalah tahun yang bertuah kepada semua warga UTHM kerana dewan ini adalah dewan yang baharu kali pertama digunakan untuk menyempurnakan majlis gilang gemilang ini. Tahniah kepada semua yang telah berjaya dengan cemerlang menunaikan tanggunjawab sebagai pelajar dan semoga keceriaan hari ini tidak akan menitiskan air mata kesediahan dikemudian hari.

Belum menang lagi

 

LIVERPOOL

Kelab bola sepak kegemaraan aku yang telah aku sokong dari tahun 1986 lagi dan sehingga kini aku masih lagi setia menyokong kelab bola sepak berpangkalan di Anfield, England. Walaupun sejak beberapa musim ini yang penuh sejarah mengalami zaman yang dikatakan oleh sesetengah pendapat zaman kejatuhan atau kemalapan tetapi di hati aku masih lagi setia menyokong kelab tersebut. Ramai rakan-rakan aku yang cuba mempengaruhi aku untuk meninggalkan kelab Liverpool dan berpaling arah kepada kelab-kelab lain yang lebih berjaya tetapi ia tidak dapat mematahkan semangat aku untuk menyokong kelab Liverpool. begitu kuat dan hebatnya daya penarik Liverpool kepada aku, bak kata pepatah "Tidak lapok dek hujan dan tidak lekang dek panas". Walau beribu yang hadir kau tetap di hati aku. Teruskan perjuangan sehingga berjaya dan aku yakin kejayaan itu akan diperolehi oleh LIVERPOOL dan akan melekat secara berterusan. Good Luck Liverpool.... Have a nice day!!!!

Salam dan selamat pagi, petang serta malam, semua warga maya yang sangat dikasihi, apa kabar semua orang kampung, apa kabar orang pekan, apa kabar warga desa, apa kabar orang bandar, apa kabar warga felda, apa kabar warga pelajar, apa kabar warga tua, apa kabar warga muda, apa kabar para wanita, apa kabar para ibu, apa kabar para ayah, apa kabar semua guru, apa kabar semua pencinta, apa kabar semua pengaman, apa kabar semua pemimpin, apa kabar semua pendidik, apa kabar semua pekerja dan apa kabar semua yang ada.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...