Monday 26 November 2012

Demi Masa Depan

Semalam aku berkesempatan menghantar anak aku ke salah sebuah sekolah Arab yang agak terkenal di bandar Kluang bersama isteri, anak dan seorang kawan isteri bersama anaknya. Tujuan aku kesana adalah untuk menghantar anak menghadapi ujian kelayakan kemasukan kesekolah tersebut. Hampir seharian kami di sana menanti keputusan ujian tersebut samada anak kami layak ataupun tidak. Alhamdulillah, setelah hampir 6 jam menanti akhirnya keputusan dikeluarkan dan anak kami layak untuk meneruskan pengajian di sekolah tersebut bermula pada 12 Januari 2013. Apa yang menarik perhatian aku adalah semasa taklimat bersama pengetua sekolah tersebut yang telah membuka hati, fikiran dan mata aku. Perkara yang paling utama dan penting nasihat beliau adalah niat menghantar anak kita ke sekolah tersebut perlu dibetulkan dan dikhususkan kepada Allah s.w.t. Ucapan lain, beliau menekankan jika kita ingin melihat anak kita berjaya di dunia dan akhirat, ibubapa dahulu perlu membentuk diri mereka menjadi hamba kepada Allah dunia dan akhirat bagi membantu mumudahkan anak-anak kita mempelajari ilmu Allah, dan yang paling menarik perhatian apabila dia berkata ramai orang yang boleh mencapai kecemerlangan akedamik dan berapa ramai orang yang mampu mengecapi nikmat kejayaan akhirat. 

Aku dan isteri sememangnya telah lama mengharap anak aku akan dapat meneruskan pengajian di sekolah tersebut setelah mendengar dari teman-teman tentang kualiti yang dihasilkan oleh sekolah tersebut. Ibubapa mana yang ingin melihat anaknya gagal dan ibubapa mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya di dunia bahkan yang paling utama anaknya dapat membantu mereka sepanjang hayat sehingga ke akhirat. Sebagai mana yang disebutkan oleh pengetua sekolah tersebut di mana anak-anak yang soleh dan solehah akan dapat membantu meningkatkan saham ibubapa mereka sehingga ke akhirat. Ketegasan menjadi intipati kaedah pembelajaran disekolah tersebut dan semua mesti berani dan sanggup mengorbankan banyak masa, tenaga dan kos bagi mencapai objektif. Mengalir juga air mata aku bila mendengar taklimat yang disampaikan dan akan aku gagahkan diri aku untuk menempuh dugaan dan cabaran bagi mencapai apa yang setiap ibubapa inginkan terhadap anak-anak mereka. Apa yang mampu aku alakukan sekarang adalah berdoa dan menyerahkan semuanya kepada Allah semoga melindungi, memberi rahmat, memudahkan dan menerangkan hati anak aku di dalam pembelajaran mendalami kesucian Al-Quran dan Sunnah.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...