Wednesday 31 July 2013

Kematian yang pasti

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, bersyukur aku kehadrat Illahi kerana masih lagi memberi nikmat kehidupan kepada aku pada hari ini. 

Pagi tadi aku diberitahu oleh rakan aku tentang pemergian seorang sahabat aku di tempat kerja ke rahmatullah. Pada minggu ini sahaja aku telah mendengar lebih kurang 2-4 orang yang telah kembali ke rahmatullah dan kalau aku campur sepanjang bulan Ramadhan ini aku telah mendengar lebih kurang 10 - 20 orang telah kembali ke sana tidak termasuk yang jauh dari aku dan juga yang di luar negara seperti di Mesir. Kematian memang tidak disangka dan itu adalah rahsia Allah hanya Dia yang tahu rahsia kematian ini walaupun ada beberapa petunjuk tetapi kita tidak sedar bahawa itu adalah tanda-tanda ajal semakin dekat. Jelas bahawa ajal maut telah ditentukan oleh Allah kepada setiap hambaNya di muka bumi ini seperti yang tertera maksud fimanNya :

Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan). (Al-An'aam 6:2)

Kematian adalah sesuatu yang amat sensitif dan takut untuk disebut atau diceritakan sedangkan kita semua sedia maklum bahawa kematian tetap akan datang dan setiap insan akan merasai mati. Bila difikirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan mati seperti pokok yang hidup akan mati bila tiba masanya, binatang yang berkeliaran juga akan mati bila sampai waktunya dan manusia juga akan mati bila tiba ajalnya. Kaedah atau cara atau bagaimana atau punca kematian sahaja yang berbeza dari semua. Kematian adalah satu perkara yang amat dekat dengan diri kita walau sejauh mana kita cuba berlari dari kematian ia tetap disamping kita dan menjadi teman yang paling rapat. 

Surah An Nisa’, Ayat 78


Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?


Apa yang pasti kematian itu adalah hak mutlak kita sebagai insan untuk dibangkitkan semula pada hari akhirat kelak. Kematian juga adalah penentu terakhir untuk kita dihisab oleh Allah bagi menentukan tempat kehidupan kita yang kekal abadi. 

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (A-li'Imraan 3:185)

Allah maha adil dan maha bijaksana serta maha penyayang kerana dengan limpah kurniaNya memberi peluang kepada hambaNya untuk memilih jalan kehidupanya sendiri. Panduan dan pedoman telah disediakan oleh Allah dan setiap perjalanan kehidupan telah Allah sediakan petunjuk serta pengajaran untuk dijadikan sebagai panduan. Allah tidak membiarkan kita terkapai-kapai melayari kehidupan ini dan Allah telah menyediakan bahtera yang lengkap dan terbaik untuk kita menuju ke alam sana agar kita mendapat kemanisan dan kenikmatan hidup setelah mati. sekadar untuk renungan........



10 malam terakhir



10 malam terakhir pemisah antara Ramadhan dan Syawal,
10 malam terakhir ditunggu-tunggu sebahagian umat nabi Muhammad, 
10 malam terdapat 1 malam yang menyamai 1000 bulan,
10 malam terakhir Allah berikan kenikmatan yang berganda
10 malam terakhir ditangisi oleh mereka yang beriman dan beramal soleh
10 malam terakhir bertambah kekuatan bagi mereka yang menyayangi
10 malam terakhir manjadikan amalan semakin bertambah
10 malam terakhir menjadi motivasi insan bertakwa
10 malam terakhir memberi hidayah kepada mereka yang menginginkan


10 malam terakhir juga dinanti sebahagian umat
10 malam terakhir ini juga menjadi penaik semangat 
10 malam terakhir menjadi cabaran menyelesaikan sambutan
10 malam terakhir panggilan kemewahan mengundang dengan hebat
10 malam terakhir menjadi insan mengejar dunia
10 malam terakhir membuat insan gembira tidak terkata
10 malam terakhir menyebabkan orang keliru menjalankan ibadah
10 malam terakhir menjadikan sesuatu menjadi keutamaan
10 malam terakhir bersengkang mata membuat benda yang lara
10 malam terakhir menjadi semangat untuk terus bermaksiat
10 malam terakhir masih ramai yang leka 
10 malam terakhir berlalu dengan sia-sia..

10 malam terakhir akan dinanti lagi
10 malam terakhir belum pasti akan bertemu lagi
10 malam terakhir pergimu ditangisi
10 malam terakhir semoga kita akan bertemu lagi
10 malam terakhir akan datang lagi
10 malam terakhir kehadiranmu dinanti...........


Tuesday 23 July 2013

Akhirnya keputusan dibuat....



Dengan nama Allah yang maha penyayang dan maha pemurah, pagi yang ceria dan memberangsangkan. Aku ingin berkongsi sedikit pengalaman yang baru pagi tadi aku lalui. Pagi tadi, aku dengan gentleman telah berbincang dengan seorang yang lebih tinggi pangkatnya. Aku bersyukur kepadaNya kerana memberi aku kekuatan minda dan kelancaran di dalam perbincangan serta keyakinan dalam mengawal emosi dan diri. Perbincangan yang agak hangat dan sensasi yang menyebabkan aku mempartikkan ilmu yang aku dapat  pada kelas hari Ahad yang lepas dengan lecture aku Mr. JJ. Perbincangan ini bukan bertujuan untuk mencari siapa betul, siapa salah atau siapa pandai siapa bodoh atau siapa ketua siapa ahli tetapi perbincangan ini adalah bertujuan untuk mencari satu keputusan dan mekanisma yang terbaik di dalam memperbaiki kelemahan yang ketara. 


Awal perbincangan, masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri serta alasan-alasan yang kuat dan luahan perasaan dan hati secara terus terang tanpa berselindung. Walaupun pada awalnya ia seolah-olah berlaku pertahankan diri masing-masing sehingga agak sedikit tegang tetapi dapat diurus dan dikawal dengan sempurna. Senyum walaupun anda diasak atau sewaktu anda mengasak. Ya! dengan senyuman ia dapat mengawal semua situasi walaupun di dalam keadaan yang merumitkan, tegang atau sebaliknya. Senyuman juga dapat membuat diri kita menjadi tenang dan membuat keputusan dengan tepat demi masa depan kerjaya. Aku berharap sangat semoga hasil perbincangan ini akan menjadi satu kenyataan dan terlaksana seperti yang diharapkan walaupun kita perlu sedar bahawa setiap kententuan hanya Allah yang dapat tentukan, sekurang-kurangnya usaha dan doa telah dilaksanakan.

 

Aku berharap semoga Allah akan permudahkan kumpulan ini dan semoga keputusan aku ini adalah keputusan yang tepat dan betul serta perjanjian orang yang lebih tinggi jawatan akan dapat memainkan peranannya dengan lebih baik lagi akan terlaksana demi kemajuan kumpulan ini, Kita sekumpulan mesti dalam kumpulan dan aku juga sayang dengan kumpulan ini kerana aku juga yang dipertanggunjawabkan untuk mengasaskan kumpulan diawal penubuhanya sehingga ia dapat pergi sejauh ini. Aku tidak gilakan kuasa atau pengkat dan aku bersuara atas dasar pengalaman sahaja kerana aku juga ingin merasai nikmat kejayaan dan kecemerlangan kumpulan ini ke satu tahap yang lebih tinggi lagi.

Kesimpulan yang aku dapat adalah setiap persoalan ada jawapan, setiap penantian ada pengakhiran, setiap yang bermula ada kesudahan, setiap tangisan ada ketawa, setiap kegembiraan ada kedukaan, setiap masalah ada penyelesaian, setiap yang hidup akan ada kematian, setiap yang jauh ada yang dekat dan setiap bebanan akan ada keringan yang penting bagaimana kita mengawal semua itu dan bagaimana kita mengurus semua itu menjadi satu yang positif di dalam perjalanan kehidupan. ~ Hariyyyyyooooosssss!!!

Saturday 20 July 2013

Pendirian.....

Dengan nama Allah yang maha pemurah dan penyayang, bersyukur aku kepadaNya kerana masih meminjamkan dan membenarkan nafas untuk aku menjalani kehidupan yang sementara ini. Teringat aku kata-kata seorang ustaz yang mana apabila kita tidur pada malam hari ini belum tentu kita akan dapat menikmati keindahan esok hari, kalau kita terlelap di siang hari belum tentu kita akan dapat menjamah keheningan malam hari. Aku pernah terdengar bahawa tidur adalah satu mati kecil yang mana nyawa kita di rehatkan sebentar, ini semua kerja Allah.

Pagi aku ingin berkongsi tentang Pendirian dengan semua sahabat di alam maya ini. Aku tertarik dengan topik pendirian pada pagi ini kerana ia adalah satu perkataan yang boleh memberi maksud mendalam dan tidak terungkai dengan kata-kata dan tidak dapat dinilai dengan pengelihatan. Pendirian boleh membawa banyak maksud dan uraian dan paling penting Tetap Pendirian adalah sesuatu yang terbaik seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:


“Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.” Riwayat Ahmad


Huraian: Maksud istiqomah ialah tetap teguh di atas jalan yang betul lurus yang membawa keredhaan Allah S.W.T. Dasar istiqomah adalah istiqomah hati iaitu lurusnya hati di atas tauhid. Apabila hati telah beristiqomah kepada Allah dalam erti kata takut, cinta, tawakkal dan mengagungkan Allah maka seluruh anggota tubuh akan taat kepadanya. Ini ialah kerana hati adalah raja kepada badan manakala anggota badan adalah rakyatnya. Anggota terpenting selepas hati yang mesti diberi perhatian serius agar beristiqomah ialah lidah kerana lidah adalah terjemahan hati yang menggambarkan pemikiran seseorang.


Semua manusia yang berakal tidak kira islam atau pun tidak mempunyai pendirian mereka sendiri dan sebagai hamba kepada Allah kita perlu mempunyai pendirian yang kukuh tentang akidah kita agar tidak dapat digugat dan menghormati pendirian orang lain serta jika pendirian seseorang itu bercanggah dengan akidah kita perlu membantu mereka agar ia mendapat petunjuk kebenaran. Jelas setiap orang mempunyai pendirian yang berbeza mengikut matlamat kehidupan seseorang walaupun pada hakikatnya pendirian yang mereka pertahankan mempunyai satu matlamt yang sama iaitu kebahagiaan di dunia dan akhirat, syurga atau neraka.


Aku juga mempunyai Pendirian aku sendiri tentang hala tuju dan perjuangan aku sebagai khalifah di muka bumi ini. Pendirian aku amat jelas dan aku bertekad untuk menjadikan pendirian aku ini sesuatu yang membawa aku menuju untuk bertemu dengan Rasullah dan dapat keredahan Allah. Aku budak tua yang sentiasa belajar mencari ilmu dan dengan ilmu itu aku boleh memancu diri aku dan orang lain untuk menjadi manusia yang sentiasa dekat kepada Allah dan perjuangan aku sentiasa selari dengan kehendakNya. Ramai orang yang aku temui gah berdiri, berjalan dan bersuara penuh dengan ilmu yang tinggi dan lebih ramai lagi yang tidak mengamalkan ilmu yang telah diberi. Berapa ramai yang mendapat gelaran ustaz tetapi ia tidak mampu menjadikan hatinya sebagai ustaz yang mampu memberi contoh dan tauladan kepada diri sendiri dan orang lain. Keadaan ini membuatkan pendirian aku menjadi sedih dan hampa, serta aku terpaksa berkelana lagi mencari ketulusan dan keikhlasan serta kejujuran yang benar-benar memberi impak kepada keimanan dan ketakwaan manusia yang bergelar hamba Allah.


Aku berpegang kepada pendirian aku bahawa tidak semua orang memahami kita dan tidak semua orang boleh menerima pendirian kita dan kita juga tidak boleh untuk memuaskan hati semua serta kita tidak mampu untuk memaksa orang lain untuk memahami pendirian kita. Pendirian aku yang sebegini menyebabkan ramai orang telah memandang serong kepada aku sedangkan aku tidak pernah memandang serong kepada mereka kerana aku menghormati pendirian mereka. Pendirian aku jugak yang menyebabkan banyak perkara aku pendamkan dan aku diamkan demi menjaga hati semua pihak, pernah jugak aku luahkan tetapi ibarat mencurah air di daun keladi habis cakap tetap perkara sama yang terjadi. Oleh itu aku tetap dengan pendirian aku bahawa terus mencari bukannya lari atau merajuk membawa diri cuma aku tetap aku dengan pendirian buat apa "aku bersama lagi jika itu semua tidak mampu mengubah kelemahan diri, lebih baik aku pergi mencari sesuatu yang lebih baik untuk aku jadikan panduan hidup aku ini". Dengan izin Allah mudah-mudahan aku tidak menyesal dan semoga Allah akan menemukan aku dengan apa yang aku cari dan impi walaupun ia memakan masa untuk dikecapi.


Apa yang penting bagi jangan berputus asa dan mengalah untuk menang, biar orang nampak kita seperti mengalah tetapi pada hakikatnya kita sedang mencari sesuatu yang lebih baik dari sebelum ini. Aku takut aku mengalami kerugian di setiap perjuanga dan khuatir ilmu hanya menjadi sia-sia serta aku takut kebenaran dan pesanan aku menjadi debu yang berterbangan kerana niat yang tersasar lari daripada keimanan dan amal soleh serta tidak sabar di dalam menjalankan kehidupan sebagai seorang pejuang.


"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Al-'Asr 103:1-3)


Kesimpulan yang aku dapat huraikan adalah hanya Allah yang tahu tentang diri kita dan kita sendiri tidak mampu untuk membawa diri kita dan hanya Allah yang mampu mengubah diri kita setelah kita berusaha dengan penuh jitu dan berdoa kepadaNya. Berusaha dengan yakin, berdoa dengan memuji dan mengharap pertolongan Allah.


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang ada pada diri mereka ”. QS Ar-Ra'd:11.


Kelemahan?....

Malam ini aku tersentuh dengan tulisan seorang sahabat aku yang dah lama aku tidak bertemu dengannya, dan aku pun tidak tahu adakah aku akan berjumpa dengannya lagi?, dan ditambah dengan kata-kata ustaz di dalam tazkirahnya yang sangat hebat yang tadi aku dengar. Apa yang aku baca dan dengar agak tempias ke atas diri aku ini. Aku sedar, sememangnya masih lagi mentah di dalam kancah perjuangan yang suci ini dan banyak kelemahan yang aku perlu perbaiki dan pelajari ilmu, agar aku mampu menjadi pejuang yang sejati. Banyak kelemahan yang ada di dalam hidup aku sehingga aku jauh tertinggal dari semua perkara. Kesedaran ini boleh aku titipkan di sini untuk perkongsian semua agar tidak menjadi seperti aku yang mengalah untuk menang di suatu hari nanti.

Kelemahan ini memang jelas terpancar dari sudut hati dan kelemahan ini juga yang menyebabkan selalu kecundang di dalam perjuangan. Kelemahan ini juga yang menyebabkan ramai orang yang mengambil kesempatan sehinggakan mereka tidak bisa mengenal yang mana kaca dan yang mana intan. Kelemahan ini yang menyebabkan sering dipandang dengan penuh kebencian dan penuh kesalahan. Kelemahan ini juga menyebabkan orang sering salah mentafsir kejujuran, keikhlasan dan semangat kesetiaan di dalam perjuangan. Kelemahan ini juga menyebabkan aku semakin jauh dari perjuangan. Kelemahan ini juga menyebabkan orang memandang serong kepada pendirian. Kelemahan ini adalah salah satu faktor menyebabkan ramai yang lebih dipandang mulia walaupun ia tidaklah seperti yang disangka. Kelemahan ini yang menyebabkan dirinya sentiasa dimusuhi, dicaci, dikeji, dimaki dan dihina. Kelemahan ini yang menyebabkan dirinya semakin menjauhkan diri dari mereka yang lebih hebat darinya. Kelemahan ini yang menyebabkan ia lari dari suasana yang boleh menyebabkan hatinya mati. Kelemahan ini yang menyebabkan ia selalu terpandang yang keji disanjung dan yang mulia dikeji. Kelemahan ini yang menyedarkan bahawa setiap insan akan mempertahankan kelemahan diri demi mencapai cita-cita sendiri. 

Kelemahan ini adalah anugerah illahi untuk mengenal diri sendiri. Kelemahan ini menjadikan ia hidup dengan cara sendiri. Kelemahan ini akan menjadi faktor ia menuju perjuangan yang sejati. Kelemahan ini akan menjadi teman sejati untuk menentang segala kebatilan di muka bumi. Kelemahan ini akan sebagai pembakar semangat agar hatinya tidak mati. Kelemahan ini akan menjadi pendorong untuk terus berbakti untuk agama, bangasa dan negara. Kelemahan ini akan menjadi penawar duka dikala sepi. Kelemahan ini menjadi dirinya rapat kepada Illahi. Kelemahan ini ia dapat menjauhi diri dari terus melihat kesangsian. Kelemahan ini menjadikan ia sebagai guru yang membentuk keperibadian diri. Kelemahan ini akan terus menjadi teras kepada perjuangan yang abadi. Kelemahan ini boleh membuat hidup berdikari dan memajukan diri. Kelemahan ini akan menjadi senjata yang mampu menerobos kejituan diri. Kelemahan ini akan membawa diri menuju kejayaan yang dinanti. Kelemahan ini akan membuatkan diri menjadi berjatidiri. Kelemahan ini akan menjadikan hidup lebih berhati-hati. Kelemahan ini akan membuat lebih mengenali diri sendiri. Kelemahan ini akan menjadikan aku tidak akan memakan daging kawan sendiri. Kelemahan ini akan membuat aku menghormati diri sendiri. Kelemahan ini akan membuat aku menutup keaiban rakan sendiri. Kelemahan ini akan membuat aku sentiasa berfikir positif. Kelemahan ini menjadi satu objektif yang pasti dan akhirnya kelemahan ini hanya Allah yang mengerti............Hariyosssss....

Tuesday 9 July 2013

Penangan Pou


Tentu ramai yang mengenali gambar ini yang giat sedang melanda kawan-kawan aku bekerja. Wajah ini adalah salah satu permainan yang digelar sebagai Pou. Permainan ini memang agak menarik perhatian terutama aku yang telah terjebak seminggu yang lalu. Pada mulanya aku mendengar sahaja anak saudara aku membela si Pou ini dan aku berkata apalah budak-budak ini Pou yang macam ini pon dijaganya bagai nak rak. Las-last aku pon terjebak setelah aku cuba memuaturun si Pou ini ke dalam telefon pintar aku. Bak kata pepatah dah rasa sekali, bila best pasti nak lagi macam tu lah aku, bila dah mula membela si Pou ini tak boleh nak berhenti. Seronok pulak rasanya menjaga si Pou ini, dari pagi sampai ke malam aku sibuk menguruskan si Pou ini dengan beri dia makan, bersihkan badan, ajak dia bermain pas tu beri dia tenaga dan macam-macam lagi. Orang rumah aku pon dah boleh agak kalau aku dok diam je, ah ni mesti si Pou dia le tu dan anak-anak aku pon suka tengok aku bela si Pou ni, entahlah apa yang menyebabkan Pou ni begitu menarik perhatian aku. Apa yang aku dapat kongsikan adalah pandainya si pencitpa permainan ini membuat orang hayal seketika ketika membela si Pou ni dan kadang-kadang aku boleh terfikir jugak yang si Pou boleh latih aku untuk menjaga waktu agar sentiasa lebih bersedia terutama apabila di dalam kehidupan yang nyata iaitu tentang tanggunjawab aku kepada Allah, keluarga dan masyarakat~hariyooossss Pou




Monday 8 July 2013

Tazkirah kenduri solat jenazah




Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga jenazah itu disembahyangkan, maka dia seolah-olah mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak) dan sesiapa yang menghadirinya sehingga jenazah itu dikuburkan, maka dia mendapat dua qirat. Sahabat bertanya: Apakah dua qirat itu? Baginda s.a.w bersabda: Seumpama dua gunung.

Aku tadi pergi kenduri arwah, bapa kepada kawan aku yang baru meninggal dunia pagi tadi. Sebelum kenduri bermula pengerusi masjid memberi sedikit tazkirah ringkas berkenaan dengan kepentingan solat jenazah. Aku bersetuju dengan kata-kata beliau betapa orang sekarang mengambil mudah tantang solat jenazah yang paling mudah ini kerana solat jenazah tidak perlu rukuk, sujud, duduk antara dua sujud ataupun tahyat awal atau akhir dan solat jenazah hanya perlu takbiratul ihram sahaja serta bacaab yang ringkas. Apa yang dikesalkan oleh Pengerusi adalah walaupun ramai yang menziarahi si mati tetapi lebih ramai yang menanti di kubur, halaman rumah dan jalan. Apabila jenazah sedang disolatkan hanya segelintir sahaja yang menyertainya. Aku juga pernah melihat perkara yang sama pada minggu lepas sewaktu aku melawat saudara isteri aku meninggal, memang ramai rakan dan kawan-kawan serta saudara mara simati datang melawat dan apa yang aku kesalkan hanya sedikit sahaja yang sama-sama menyolatkan jenazah. Pelbagai alasan yang diberikan oleh mereka untuk mengelak dari solat jenazah, marah betul aku tengok pengerusi masjid aku tadi. Aku pun terfikir, jika di zaman ini pun telah ramai yang mengelak unutk solat jenazah bagaimana dengan zaman akan datang, adakah lagi orang yang akan solat jenazah kalau tidak dibentuk datri sekarang para warisan yang tinggal.

Kesimpulan yang aku dapat dari tazkirah tadi adalah kita perlu memainkan peranan bagi membantu mereka yang berat untuk bersama-sama solat jenazah agar mereka memahami betapa pentingnya solat jenazah ini agar mereka tahu dan faham serta ringan dan mudah untuk menyolatkan jenazah jika ada kematian. Solat jenazah adalah tuntutan fardu kifayah bagi orang islam dan kita juga perlu sedar satu hari nanti kita juga akan mati dan aku khuatir jika sekarang kita tidak solat jenazah akan datang tidak ada orang yang akan menyolatkan jenazah kita. Jika kita inginkan orang lain solat untuk kita sewaktu kita mati, kita perlu solatkan dahulu orang yang mati terdahulu dari kita. Semoga perkongsian ini akan membuka hati aku dan pembaca betapa kita hidup hanya sementara dan saling bergantung untuk kelangsungan hidup kita di dunia dan akhirat~Allahu A'lam.

Dari Abdullah bin Abbas, r.anhuma, katanya; aku ada mendengar Rasul s.a.w, bersabda “ mana-mana orang Islam (lelaki atau perempuan) yang mati lalu disembahyangkan jenazahnya oleh 40 orang lelaki yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain nescaya Allah kabulkan doa permohonan mereka mengenainya”. (HR Muslim)

Aku, Belia dan Kampung

Baru sebentar tadi aku dikunjungi oleh 2 orang rakan yang sama-sama berada di dalam sebuah pertubuhan belia beberapa tahun yang lalu. Kedua-dua mereka ini adalah adik-beradik yang sering juga dipandang semacam oleh orang kampung sewaktu ketika dulu. Aku saja yang tidak pernah mengikut kata setengah orang kampung agar tidak berapa campur dengan kedua beradik serta rakan-rakan mereka. Aku tetap aku, seperti biasa aku tetap bercampur dengan mereka dan cuba menarik mereka untuk bersama-sama dengan aku serta pertubuhan aku sewaktu ketika dulu. Semasa berbual dengan mereka tadi teringat aku kepada sejarah awal aku mengenali mereka ini dan seterusnya aku mengenal kawan-kawannya.

Pada mula aku kenali mereka melalui buah mulut orang seawal aku mula berpindah ke kampung ini, macam-macam cerita yang aku dengar tentang orang-orang muda di sini termasuk mereka berdua. Aku mula khuatir dan bimbang untuk mendekati mereka kerana adakah mereka akan menerima aku yang jauh berbeza dengan cara mereka. Aku sememangnya berminat untuk bergaul dan berkawan dengan orang-orang yang seperti ini kerana aku pernah diajar oleh seorang kawan aku Leftenan Muda TLDM yang telah meninggal dunia selepas aku tamat alam persekolahan. Aku masih ingat lagi kata-kata beliau "Aku kalau nak berkawan aku suka berkawan dengan orang yang bermasalah sebab mereka yang perlu dibantu dan orang yang baik tu dah ok dah boleh jaga diri" lebih kurang begitu ayatnya dan katanya lagi "Kita perlu sentiasa memandang positif, jika kita dah tahu orang bermasalah pun kita perlu positif dia akan berubah".

Kalau tidak silap aku sewaktu aku ingin mendekati mereka ini aku sering pergi tempat mereka melepak di sebuah warung di kampung aku, dari situlah semuanya bermula. Aku mula mengeteh di warung tersebut sambil memerhatikan keadaan sekeliling dan sekali-sekala mendengar rintihan dan luahan mereka dari jauh. Selain aku melepak di warung aku juga kerap singgah di tempat menunggu bas misteri yang kerap mereka lepak sementara menunggu waktu maghrib, sebelum aku pergi ke masjid. Mulanya aku agak kekok juga nak meresapkan cara aku atau cara mereka agar dapat berkomunikasi dengan mereka, yalah almaklumlah dengan pakaian aku untuk ke masjid tentu mereka akan pandang serong. Aku bersyukur dengan selamba aku duduk bercampur dangan mereka dan aku tidak pernah bercerita tentang kewajiban pergi ke masjid di awal percampuran aku dengan mereka. Aku juga sering menyapa dan bertanya kabar berita dengan setiap orang yang ada di situ dan bersalaman dengan mereka.

Mulanya agak janggal juga sambutan dari mereka, yalah orang kata dari dua cara yang berbeza, cuma kau respect dengan mereka kerana mereka agak menghormati aku walaupun dari 2 dunia yang berbeza. Awal percampuran akau dengan mereka, aku lebih banyak mendengar dan sekali-sekala sahaja aku berbicara untuk aku memahami hati budi mereka yang sebenarnya. Setiap kali aku selesai bersama mereka aku akan balik dan buat rumusan serta kajian tentang mereka dan pada pandangan aku mereka boleh dibentuk dan masih boleh dibantu, masalah mereka adalah mereka terasa tidak dihargai dan tersisih. Langkah pertama aku nampaknya mendatangkan hasil walaupun sedikit tetapi dapat membuka jalan untuk aku bertindak selanjutnya demi sebuah perjuangan yang panjang. Aku rasa untuk kali ini cukup dahulu kisah ini sampai di sini dan akan ada siri ke 2 untuk penceritaan seterusnya~hariyossss....

Sunday 7 July 2013

Bazar ramadhan datang lagi

Beberapa hari lagi seluruh umat islam akan menyambut bulan yang penuh dengan keberkatan iaitu bulan Ramadhan. Aku juga akan menyambutnya dengan penuh keazaman untuk meraih ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. Apabila datang sahaja bulan Ramadhan ramai manusia yang akan memikirkan suatu perkara yang telah menjadi budaya kepada kita setiap tahun datangnya Ramadhan. Semua insan akan berpusu-pusu dan penuh minat untuk mengetahu tentang kemeriahan budaya ini yang jika dilihat umpama lebih perlu dari perkara yang lebih wajib kita lakukan. Apa yang ingin aku katakan adalah bazar Ramadhan. Ya bazar Ramadhan yang amat popular di mana-mana sahaja terutama diseluruh pelusuk negara.


 Gambar hiasan

Bazar ramadhan adalah satu nama yang tidak pernah lekang setiap tahun apabila bermulanya ramadhan, sebelum muncul ramadhan lagi Bazar ini telah mula diaktifkan dengan masing-masing lebih mengutamakan untuk memperolehi tempat bagi menjalankan budaya berniaga di bulan Ramadhan. Aku pernah berbual dengan seorang sahabat yang setiap tahun akan mencuba nasib untuk memperolehi tapak di Bazar ramadhan ini. Tahun ini dia kata hanya dapat yang kecil je dan untuk yang exspo tidak dapat nak buat macam mana orang lain dah didahulukan dari kita, katanya. Begitu hebat penangan bazar ini belum lagi datang ramadhan ia lebih popular dari bulan ramadhan itu sendiri dan sehingga ada terbaca di dalam berita semasa di mana sekumpulan kecil manusia yang tidak berpuashati kerana tidak dapat mengisi ke ruang Bazar ramadhan ini.

Sebagaimana yang kita tahu Bazar ramadhan ini adalah satu tempat yang menempatkan ramai peniaga makanan dan minuman. Pelbagai jenis makanan dan minuman yang terdapat di dalamnya dan antara yang popular apabila di sini adalah kuih muih, ayam golek, ikan bakar, mertabak dan pelbagai lagi, begitu juga dengan air minuman seperti air kelapa, air tebu, air mata kucing dan macam-macam lagi jenis air. Kawan aku pernah bergurau jika kita cat batu ni macam kuih atau makanan pun akan ada orang tanya ni kuih apa bang.

Begitulah hebatnya Bazar Ranadhan yang penuh dengan daya tarikan sehingga memikat semua golongan kanak-kanak, remaja, dewasa dan golongan tua. Apa yang jelas jangan kerana Bazar ini, kita melupakan matlamat asal kita menyambut Ramadhan yang penuh keberkatan ini dan paling utama kita perlu tahu mengawal diri kita dari terpedaya dengan hawa nafsu kita di dalam Bazar Ramadhan, tepuk dada tenangkan fikiran, fikirkan dan tanya dengan iman... hariyooossss!!!.

 Sekadar hiasan pelbagai jenis kuih muih

 Sekadar hiasan Ayam Golek

 Sekadar hiasan Air

Sekadar hiasan lauk pauk

Bazar ramadhan juak tetapi yang paling penting jangan jadi begini.....


Sekadar hiasan

HS vs GM



Selesai sudah pertarungan antara Harimau Selatan (HS) menentang Gergasi Merah (GM) dan keputusan muktamad telah diperolehi iaitu seri (1-1) yang tidak membawa makna bagi Harimau Selatan tetapi memberikan kenyataan untuk Gergasi Merah meraih tempat ke dua di  dalam Liga Super. Keputusan ini juga bermakna HS tidak dapat untuk memasuki AFC bagi musim hadapan dan memberi ruang sekali lagi kepada GM untuk menikmati perjuangan di dalam AFC musim depan. 

Tahniah kepada GM dan syabas kepada HS, GM sememangnya layak untuk memperolehi keputusan demikian dan begitu juga HS yang telah berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kemenangan tetapi ketentuan dariNya lebih nyata berpihak kepada GM. Apa yang menarik dari permainan tadi adalah semangat yang ditonjolkan oleh semua pemain kedua-dua pasukan begitu bertanggunjawab dan bersemangat bagi memastikan pasukan masing-masing berjaya pulang dengan bergaya. 




Penjaring gol tunggal Johor Darul takzim


Penjaring gol penyamaan yang seterusnya menghalang JDT untuk meraih tempat ke 2



Aku kagum dengan yang ini menang atau kalah tetap tidak berganjak dari awal hingga ke akhir malah tetap meraikan bersama-sama dengan pemain yang berjuang bermati-matian.

Tahniah kepada semua yang terlibat pada malam ini walaupun keputusan tidak memihak kepada HS Johor tetap di hati, Luaskan Kuasamu Johor!!!!!





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...