Wednesday 31 July 2013

Kematian yang pasti

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, bersyukur aku kehadrat Illahi kerana masih lagi memberi nikmat kehidupan kepada aku pada hari ini. 

Pagi tadi aku diberitahu oleh rakan aku tentang pemergian seorang sahabat aku di tempat kerja ke rahmatullah. Pada minggu ini sahaja aku telah mendengar lebih kurang 2-4 orang yang telah kembali ke rahmatullah dan kalau aku campur sepanjang bulan Ramadhan ini aku telah mendengar lebih kurang 10 - 20 orang telah kembali ke sana tidak termasuk yang jauh dari aku dan juga yang di luar negara seperti di Mesir. Kematian memang tidak disangka dan itu adalah rahsia Allah hanya Dia yang tahu rahsia kematian ini walaupun ada beberapa petunjuk tetapi kita tidak sedar bahawa itu adalah tanda-tanda ajal semakin dekat. Jelas bahawa ajal maut telah ditentukan oleh Allah kepada setiap hambaNya di muka bumi ini seperti yang tertera maksud fimanNya :

Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan). (Al-An'aam 6:2)

Kematian adalah sesuatu yang amat sensitif dan takut untuk disebut atau diceritakan sedangkan kita semua sedia maklum bahawa kematian tetap akan datang dan setiap insan akan merasai mati. Bila difikirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan mati seperti pokok yang hidup akan mati bila tiba masanya, binatang yang berkeliaran juga akan mati bila sampai waktunya dan manusia juga akan mati bila tiba ajalnya. Kaedah atau cara atau bagaimana atau punca kematian sahaja yang berbeza dari semua. Kematian adalah satu perkara yang amat dekat dengan diri kita walau sejauh mana kita cuba berlari dari kematian ia tetap disamping kita dan menjadi teman yang paling rapat. 

Surah An Nisa’, Ayat 78


Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?


Apa yang pasti kematian itu adalah hak mutlak kita sebagai insan untuk dibangkitkan semula pada hari akhirat kelak. Kematian juga adalah penentu terakhir untuk kita dihisab oleh Allah bagi menentukan tempat kehidupan kita yang kekal abadi. 

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (A-li'Imraan 3:185)

Allah maha adil dan maha bijaksana serta maha penyayang kerana dengan limpah kurniaNya memberi peluang kepada hambaNya untuk memilih jalan kehidupanya sendiri. Panduan dan pedoman telah disediakan oleh Allah dan setiap perjalanan kehidupan telah Allah sediakan petunjuk serta pengajaran untuk dijadikan sebagai panduan. Allah tidak membiarkan kita terkapai-kapai melayari kehidupan ini dan Allah telah menyediakan bahtera yang lengkap dan terbaik untuk kita menuju ke alam sana agar kita mendapat kemanisan dan kenikmatan hidup setelah mati. sekadar untuk renungan........



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...