Monday 8 July 2013

Aku, Belia dan Kampung

Baru sebentar tadi aku dikunjungi oleh 2 orang rakan yang sama-sama berada di dalam sebuah pertubuhan belia beberapa tahun yang lalu. Kedua-dua mereka ini adalah adik-beradik yang sering juga dipandang semacam oleh orang kampung sewaktu ketika dulu. Aku saja yang tidak pernah mengikut kata setengah orang kampung agar tidak berapa campur dengan kedua beradik serta rakan-rakan mereka. Aku tetap aku, seperti biasa aku tetap bercampur dengan mereka dan cuba menarik mereka untuk bersama-sama dengan aku serta pertubuhan aku sewaktu ketika dulu. Semasa berbual dengan mereka tadi teringat aku kepada sejarah awal aku mengenali mereka ini dan seterusnya aku mengenal kawan-kawannya.

Pada mula aku kenali mereka melalui buah mulut orang seawal aku mula berpindah ke kampung ini, macam-macam cerita yang aku dengar tentang orang-orang muda di sini termasuk mereka berdua. Aku mula khuatir dan bimbang untuk mendekati mereka kerana adakah mereka akan menerima aku yang jauh berbeza dengan cara mereka. Aku sememangnya berminat untuk bergaul dan berkawan dengan orang-orang yang seperti ini kerana aku pernah diajar oleh seorang kawan aku Leftenan Muda TLDM yang telah meninggal dunia selepas aku tamat alam persekolahan. Aku masih ingat lagi kata-kata beliau "Aku kalau nak berkawan aku suka berkawan dengan orang yang bermasalah sebab mereka yang perlu dibantu dan orang yang baik tu dah ok dah boleh jaga diri" lebih kurang begitu ayatnya dan katanya lagi "Kita perlu sentiasa memandang positif, jika kita dah tahu orang bermasalah pun kita perlu positif dia akan berubah".

Kalau tidak silap aku sewaktu aku ingin mendekati mereka ini aku sering pergi tempat mereka melepak di sebuah warung di kampung aku, dari situlah semuanya bermula. Aku mula mengeteh di warung tersebut sambil memerhatikan keadaan sekeliling dan sekali-sekala mendengar rintihan dan luahan mereka dari jauh. Selain aku melepak di warung aku juga kerap singgah di tempat menunggu bas misteri yang kerap mereka lepak sementara menunggu waktu maghrib, sebelum aku pergi ke masjid. Mulanya aku agak kekok juga nak meresapkan cara aku atau cara mereka agar dapat berkomunikasi dengan mereka, yalah almaklumlah dengan pakaian aku untuk ke masjid tentu mereka akan pandang serong. Aku bersyukur dengan selamba aku duduk bercampur dangan mereka dan aku tidak pernah bercerita tentang kewajiban pergi ke masjid di awal percampuran aku dengan mereka. Aku juga sering menyapa dan bertanya kabar berita dengan setiap orang yang ada di situ dan bersalaman dengan mereka.

Mulanya agak janggal juga sambutan dari mereka, yalah orang kata dari dua cara yang berbeza, cuma kau respect dengan mereka kerana mereka agak menghormati aku walaupun dari 2 dunia yang berbeza. Awal percampuran akau dengan mereka, aku lebih banyak mendengar dan sekali-sekala sahaja aku berbicara untuk aku memahami hati budi mereka yang sebenarnya. Setiap kali aku selesai bersama mereka aku akan balik dan buat rumusan serta kajian tentang mereka dan pada pandangan aku mereka boleh dibentuk dan masih boleh dibantu, masalah mereka adalah mereka terasa tidak dihargai dan tersisih. Langkah pertama aku nampaknya mendatangkan hasil walaupun sedikit tetapi dapat membuka jalan untuk aku bertindak selanjutnya demi sebuah perjuangan yang panjang. Aku rasa untuk kali ini cukup dahulu kisah ini sampai di sini dan akan ada siri ke 2 untuk penceritaan seterusnya~hariyossss....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...